Rabu, 2 Mac 2011

YANG BERHORMAT DATUK HAJI ABDUL HALIM BIN HAJI SULEIMAN - TIMBALAN KETUA UMNO BAHAGIAN TEBRAU

YANG BERHORMAT DATUK HAJI ABDUL HALIM BIN HAJI SULEIMAN

Halim lali layan kerenah pengundi bandar

MENJADI wakil rakyat kepada penduduk bandar memerlukan tahap tindak balas yang cekap dan tepat kerana mereka tahu hak mereka yang tidak segan-segan menuntutnya. Mereka tidak mudah menerima apa sahaja alasan, biarpun ia adalah kenyataan, apabila rungutan tidak dilayan, cerita Abdul Halim Suleiman kepada wartawan Aivizanoorwani Shah.

Apakah prinsip hidup Yang Berhormat (YB)?

Prinsip saya ialah mempertahankan kebenaran dan berani membuat apa jua keputusan. Bagi saya, “apa yang benar tetap benar, yang salah tetap salah dan setiap kebenaran itu adalah prinsip yang perlu dipertahankan dan kita kena tegas dalam apa jua keputusan yang dibuat”. Misalnya, dalam berurusan dengan rakyat, saya tidak akan menabur janji. Jika saya tahu sesuatu itu tidak dapat dilaksanakan, saya akan berkata “tidak” dan begituah sebaliknya. Saya juga berpegang kepada prinsip “bekerja bukan untuk nama tetapi untuk kepuasan rakyat”.

Rancangan YB untuk Puteri Wangsa?

Saya mahu melihat penduduk yang saya wakili tinggal dalam keadaan yang kondusif. Ini bermaksud mendiami kawasan rumah yang dilengkapi dengan semua kemudahan awam serta keselamatan yang lebih terjamin. Selain itu, saya juga mahu meningkatkan usaha mengekalkan perpaduan di kalangan penduduk yang berbilang kaum.

Apakah cabaran YB sebagai wakil rakyat sebuah kawasan dalam bandar?

Ianya mencabar kerana penduduk mahukan kemudahan infrastruktur yang lengkap bersesuaian dengan lokasinya dalam bandar. Saya harus memastikan penduduk mendapat keselesaan hidup seperti yang diharapkan. Cabaran tugas saya menjadi rencam kerana ada tempat dalam kawasan yang saya wakili terletak di pinggir bandar seperti Kampung Sinaran dan Kampung Maju Jaya. Oleh itu, kadang-kala adalah agak mustahil untuk saya memuaskan hati semua kerana terdapat juga kengkangan terutamanya dalam hal yang berkaitan pemaju.

Masalah pemaju yang bagaimana YB maksudkan itu?

Antaranya, pemaju tidak menyediakan kemudahan awam seperti masjid, surau, sekolah, balai raya mahupun taman-taman rekreasi. Seharusnya, kemudahan ini dimasukkan dalam perancangan pembangunan taman perumahan. Setakat ini, kawasan yang saya wakili dimajukan oleh 32 syarikat, besar dan kecil. Saya amat mengharapkan agar pemaju dapat memberikan kerjasama agar penduduk dapat menikmati kemudahan yang sepatutnya

Apakah jangkaan daripada pengundi-pengundi YB memandangkan kawasan YB sudah mempunyai Majlis Bandaraya Johor Bahru Tengah (MBJBT)?

Saya akui kewujudkan MBJBT berupaya membantu mengurangkan masalah yang timbul. Namun begitu masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Antaranya, penduduk amat berharap agar sistem pungutan sampah dilaksanakan dengan lebih teratur. Southern Waste Management sepatutnya mencari satu jalan penyelesaian yang lebih efektif kepada masalah pengangkutan sampah pepejal kerana kerajaan sudah memberi tanggungjawab itu kepada mereka.

Selain masalah yang harus diselesaikan kerajaan, bagaimana pula YB melihat mentaliti masyarakat kita dalam membantu mengurangkan masalah berbangkit terutamanya yang berkaitan dengan kebersihan?

Seharusnya kerajaan mengambil langkah mendidik rakyat atau membentuk mentaliti mereka agar sedar bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 billion bagi kerja-kerja pembersihan tiga sungai iaitu Sungai Skudai, Tebrau dan Segget. Dengan pembelanjaan yang begitu besar, pastinya kita mahukan kebersihan sungai dipelihara. Untuk mencapai ini, rakyat pelu dididik untuk menjaga kebersihan dan menjadikan ia sebagai amalan harian. Ini penting kerana jika sungai-sungai itu tidak dijaga, ia boleh mengakibatkan bencana banjir seperti yang berlaku pada akhir tahun lepas dan awal tahun ini.

Bagaimana pula YB melihat masalah banjir yang berlaku sedangkan kawasan YB terletak di kawasan bandar dan apa tindakan yang diambil bagi menangani masalahnya?

Banjir berlaku terutamanya jika hujan lebat. Keadaan ini amat membimbangkan kerana semasa banjir besar yang lepas, hampir 3,000 keluarga terjejas dan keadaan lebih memeritkan kerana ia adalah banjir lumpur. Ini berlaku kerana pembangunan yang tidak teratur selain Sungai Tebrau dan Sungai Pandan yang cetek. Pada hemat saya, kerajaan harus mengambil tindakan pantas seperti memperbaiki sistem perparitan agar masalah banjir kilat dapat diatasi.

Bagaimana dengan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memindahkan penduduk setinggan yang sering terjejas dengan banjir terutamanya penduduk di Jalan Melati dan Jalan Kiambang di Kampung Oren?

Puteri Wangsa diperuntukan sebanyak 700 unit rumah daripada 2,000 unit PPR yang dibangunkan oleh Perumahan Negeri Johor. Penduduk hanya perlu membayar RM124 sebulan untuk tempoh lima tahun sebelum berpindah ke rumah lain dan digantikan dengan penyewa baru. Permohonan untuk rumah di bawah pengurusan perumahan negeri ini dibuka kepada mereka yang sudah berkahwin dan bujang. Insya’allah mereka yang berjaya boleh berpindah selewat-lewatnya Januari depan.


BERITA - Penantian 23 tahun penduduk kampung berakhir

PENDUDUK Kampung Oren yang sudah 23 tahun menduduki rumah mereka dengan hati yang tidak tenteram kerana ketiadaan Sijil Kelayakan Menduduki (CFO), kini boleh menarik nafas lega. Keresahan mereka berakhir pada 25 Ogos lepas apabila sijil yang sekian lama diidam-idamkan berada dalam genggaman.

Keceriaan jelas terbayang pada wajah setiap penduduk kerana ia adalah saat yang amat mengembirakan, seperti yang dirumuskan Hussin Othman. “Sudah cukup lama kami menanti saat ini kerana CFO berkenaan membuktikan rumah diiktiraf layak diduduki.

“Kami amat berterima kasih kepada wakil rakyat yang telah berusaha menamatkan penantian kami,” katanya.
Bagi Abdul Halim, melihat kegembiraan pada wajah penduduk kampung itu adalah kepuasan padanya kerana beliau mengetahui betapa besarnya makna sijil berkenaan kepada mereka. “Selain mengesahkan bahawa rumah mereka layak diduduki, ia sekali gus menambah nilai kepada rumah berkenaan. “Saya difahamkan selepas memperolehi CFO, rumah di kawasan ini kini bernilai antara RM50,000 dan RM60,000, ” katanya.


PROFIL WAKIL RAKYAT DEWAN NEGERI KAWASAN PUTERI WANGSA

Tarikh Lahir : 16 Disember 1962
Isteri : Siti Yusnita Binti Mohd Yusop
Anak : Nurshafena, Muhamad Redzuan, Nurshefa Atiqa, Nurnazifa, Muhamad Muhaimin Afiq, Muaamar Hamidi Hafizi, Nur Arfa Niza
Alamat Rumah : No 15, Jalan Suria 46, Bandar Baru Sri Alam, 81750 Masai, Johor.
Alamat Pejabat : Pusat Khidmat Wakil Rakyat DN Puteri Wangsa, No 30-02, Jalan Kencana Mas 1/5, Tebrau Business Park, Taman Daya, 81100 Johor Bahru.
No Telefon (P) : 07-3574919
No Telefon (R) : 07-3861918
Faks : 07-3584919
HP : 019-3712832

PENDIDIKAN
- Sekolah Kebangsaan Ngee Heng, Johor Bahru
- Sekolah Menengah Masai, Johor
- Sijil Pengurusan Perhotelan di Institut Teknologi Mara (ITM) Dungun, Terengganu
- Humber College of Art & Technology, Otawa, Ontario, Canada

PENGLIBATAN POLITIK
1981-1985 - Pemeriksa Kira-kira Umno Cawangan Masai
1985-1987 - Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Masai
1993-1995 - Ahli Jawatankuasa Pergerakan pemuda Umno Bahagian Tebrau
1993-1995 - Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Tebrau
1997-2000 - Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tebrau
2001-2004 - Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau, Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Negeri Johor, Timbalan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Negeri Johor, Ahli Jawatankuasa Biro Antarabangsa Umno
2004-kini - Ahli Jawatankuasa Kelab Golf Umno
2005-kini - Timbalan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Pengerusi Biro Pembangunan / Insfrastruktur Umno Bahagian Tebrau, Jawatankuasa Biro Agensi Dadah Majlis Tertinggi Umno

BADAN BUKAN KERAJAAN
1993-2000 - Pengerusi Kelab Usahawan Tebrau
1995-2000 - Pengerusi Belia 4B Cawangan Masai
1997-2002 - Yang Di-Pertua Sek. Men. Dato’ Penggawa Barat
2001-2003 - Ketua Penerangan Belia 4B Kawasan Tebrau
2004-2007 - Pengerusi Belia 4B Kawasan Tebrau, Penaung Persatuan Seni Silat Lian Padukan Johor
2005-kini - Penaung Persatuan Kelab Bermotorsikal Johor

BADAN BERKANUN
2004–kini - Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor

ANUGERAH/PINGAT
- Kesatria Mangku Negara (KMN)
- Ahli Mangku Negara (AMN)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan