Rabu, 30 Mac 2011

Khidmat Perunding Luar Antara Input GLC Tingkat Prestasi

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Penggunaan khidmat perunding luar dalam menyediakan sistem dan panduan amalan terbaik, menjadi antara input yang membolehkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam Program Transformasi GLC, meningkatkan prestasi masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasil sumbangan perunding terbabit membolehkan kumpulan G-20 menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mencatatkan peningkatan keuntungan bersih agregat sebanyak RM19.3 bilion pada 2007 berbanding RM9.6 bilion sebelum Program Transformasi GLC dilancarkan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), sumbangan penambahbaikan proses dan penilaian pelaburan yang matang menyaksikan nilai bersih diselaraskan portfolio Khazanah meningkat daripada RM33.3 bilion pada Mei 2004 kepada kira-kira RM53.8 bilion pada Dis 2009.

“Prestasi pelaburan terkini menunjukkan Khazanah berjaya mencatatkan pertumbuhan nilai bersih pada kadar kira-kira 13 peratus setahun dalam tempoh enam tahun lepas,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Najib menjawab pertanyaan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mengenai jumlah kos perundingan yang dibayar oleh Khazanah untuk semua projek sejak 2003, berserta butiran nama firma perunding projek, jumlah dan tarikhnya.

Najib berkata Khazanah menggunakan khidmat pelbagai perunding luar untuk tujuan runding cara berkaitan pelaburan seperti nasihat perundangan, khidmat juru audit dan perunding kewangan serta runding cara am seperti penambahbaikan sistem operasi dan teknologi maklumat.

“Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai nama-nama firma perunding dan juga jumlah yang dibayar ini tidak dapat dinyatakan kerana ia tertakluk kepada antara lainnya, pertimbangan komersial dan kerahsiaan yang lazimnya dimeterai antara dua pihak,” katanya.

Najib berkata bagi rundingan am, peningkatan sistem perakaunan dan proses membentuk sebahagian besar daripada kos penggunaan perunding sementara bagi tujuan pelaburan mewakili kira-kira 0.7 peratus jumlah nilai transaksi pelaburan dan penjualan yang dilaksanakan oleh Khazanah antara 2003 dan 2009.

“Jumlah itu jauh lebih rendah daripada kadar pasaran iaitu antara 1 peratus dan 1.5 peratus, yang lazimnya dikenakan oleh perunding luar. Penggunaan perunding khidmat runding cara pelaburan juga penting bagi membantu Khazanah membuat keputusan pelaburan yang tepat.

Najib berkata adalah menjadi amalan terbaik untuk melaksanakan penilaian berhemah dari segi kewangan dan perundangan sebelum pelaburan atau pembelian dilaksanakan oleh Khazanah.

Sebarang pelaburan atau pembelian yang dilaksana tanpa penilaian berhemah yang sewajarnya merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata perunding yang dilantik oleh Khazanah pula terdiri daripada pihak tempatan dan juga asing yang dipilih berdasarkan kepakaran dan mutu perkhidmatan masing-masing.

Menurutnya Khazanah juga mempunyai sistem yang mantap bagi menilai prestasi para perunding serta memberikan maklum balas.

Beliau berkata kajian mengenai sektor ekonomi adalah merupakan bahagian utama dalam mandat pelaburan Khazanah dan sebahagian besar daripada cadangan penyusunan semula industri memerlukan penggunaan perunding luar, selain cadangan yang diterima oleh kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan