Selasa, 1 Mac 2011

Lawatan Najib Ke Australia Perkukuh Hubungan Dua Hala


CANBERRA, 1 Mac – Mesyuarat dan perjumpaan berprofil tinggi termasuk dengan rakan sejawatan dari Australia Julia Gillard, menanti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik tiba di sini pada Rabu untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Australia bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala.

Lawatan itu atas jemputan Gillard sebagai membalas lawatan rasmi beliau ke Malaysia tahun lepas, adalah lawatan pertama Najib ke negara ini sejak memegang jawatan Perdana Menteri.

“Lawatan ini adalah baik untuk hubungan Malaysia dan Australia. Ia pasti akan memperkukuhkan lagi hubungan,” kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad. Malaysia dan Australia telah menjalin hubungan baik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pembangunan modal insan, keselamatan, pertahanan dan sukan.

Malaysia dan Australia telah menjalin hubungan baik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan pembangunan modal insan, keselamatan, pertahanan dan sukan.

Najib yang akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, tiga menteri Kabinet iaitu Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta beberapa pegawai kanan, akan diberikan sambutan rasmi di dataran Bangunan Parlimen di sini pada Khamis.

Najib dan Gillard juga dijadual mengadakan mesyuarat tertutup dan mesyuarat dua hala.

Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan sidang media bersama sebelum menghadiri majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan Gillard.

Butiran dan agenda mesyuarat membabitkan kedua-dua perdana menteri masih belum didedahkan.

Pada lawatan dua hari Gillard ke Malaysia pada 31 Okt hingga 1 Nov tahun lepas, Malaysia dan Australia antara lain berharap untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas menjelang tahun ini dan mengikrarkan komitmen untuk bekerjasama dalam membanteras isu penyeludupan dan pemerdagangan manusia serta jenayah merentas sempadan berkaitan.

Atur cara padat Najib di Canberra termasuk pertemuan dengan Ketua Pembangkang Australia Tony Abbott, mengunjungi Ketua Gabenor Komanwel Australia Quentin Bryce dan menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di Memorial Perang Australia.

Najib juga dijadual menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan kerajaan dalam bidang pendidikan dan sukan.

Rosmah pula mempunyai program berasingan di Canberra dengan beliau dijadual melawat Sekolah Rendah North Ainslie.

Pada petang Khamis, Najib dan delegasi akan berlepas ke Melbourne untuk menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Perdana Menteri Victoria Ted Baillieu.

Pada lawatan itu, Najib akan dianugerahi Doktor Kehormat daripada universiti tersohor di Melbourne, Monash University.

Monash University telah membuka kampus cawangan di Malaysia, yang terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya, pada 1998 untuk menjadi kampus cawangan universiti asing pertama beroperasi di Malaysia.

Sebelum majlis penganugerahan itu, Najib akan melawat Melbourne University dan mengadakan perjumpaan dengan penuntut Malaysia di institusi itu dan selepas
itu mengerjakan solat Jumaat di Bangunan Pusat Sukan universiti itu.

Di Melbourne, Najib juga dijadual menghadiri perbincangan meja bulat dengan pemimpin-pemimpin industri Australia.

Menurut kenyataan Wisma Putra, jumlah dagangan antara Malaysia dan Australia meningkat sebanyak 16.1 peratus tahun lepas untuk mencecah USD10.63 bilion daripada USD8.36 bilion pada 2009.

Pelaburan Australia bernilai USD6.91 bilion telah diluluskan di Malaysia dalam tempoh 30 tahun lepas.

Malaysia juga merupakan pelabur penting di Australia dengan nilai pelaburan berjumlah USD4.3 bilion bagi tempoh 2007–2010.

Salman berkata Australia juga merupakan destinasi popular di kalangan rakyat Malaysia untuk melanjutkan pelajaran.

Pada masa ini terdapat lebih 20,000 penuntut Malaysia mengikuti pengajian di Australia dan kebanyakan mereka atau kira-kira 6,000 orang melanjutkan pelajaran di Victoria, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan