PUTRAJAYA, 22 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata apabila kerajaan mengaku untuk melaksanakan sesuatu, ia akan menunaikannya dengan menggunakan segala ikhtiar dan kudrat yang ada.
Malah, kata Perdana Menteri, sebelum berjanji lagi, kerajaan akan memastikan apa yang dinyatakan itu bersifat realistik, dalam kemampuan kerajaan yang wajar, bertanggungjawab dan mengambil kira semua aspek kesejahteraan rakyat serta kepentingan jangka panjang.
“Segala-galanya berlandaskan falsafah induk Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Najib berkata perbezaan antara parti yang bertanggungjawab dan yang tidak bertanggungjawab boleh dilihat melalui janji yang dibuat kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya.
Beliau berkata parti yang bertanggungjawab tidak akan semberono mengaku untuk berbuat apa-apapun yang tampak hanya bermanfaat dalam jangka pendek tetapi akan mendatangkan bencana kepada negara serta kesengsaraan kepada rakyat bukan sahaja dalam jangka panjang malah dalam masa terdekat pun boleh dirasa kesan buruknya.
“Pucuk pangkalnya, parti yang bertanggungjawab lebih rela tidak popular untuk jangka pendek daripada membangkrapkan negara dalam jangka panjang.
“Pastinya lagi, parti yang bertanggungjawab tidak sekali-kali akan membenarkan maruah negara dikompromi atau dipertaruhkan. Pendek kata, kerajaan ini tidak sanggup menyaksikan apa yang telah dibina dengan bertatih dan jerih payah selama ini lebur musnah begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata dokumen-dokumen janji pelbagai corak “sama ada biru laut, hijau gelap, putih dan terkini jingga yang disogokkan oleh pedagang-pedagang impian” semuanya itu tampaknya dihasil dan dikarang bersandar kepada keseronokan sementara sehingga kadang-kalanya membuatkan segelintir terpegun dan terpedaya kononnya “ada tempayan emas di kaki pelangi”.
Najib berkata kerajaan tidak mahu melihat negara terpaksa bergantung kepada ehsan institusi kewangan antarabangsa seperti nasib yang menimpa sesetengah negara menadah tangan meminta-minta pada satu masa nanti, hanya kerana ingin menjadi parti populis untuk seketika.
“Oleh itu, kita tidak akan membiarkan suatu hari kelak, Malaysia berubah status dari negara industri moden berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah ‘failed state’ atau gagal akibat daripada ketidakbertanggungjawaban fiskal dan ketidaktelitian kewangan,” katanya.
Sebab itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan antara lainnya melaksanakan dasar untuk merasionalisasikan subsidi kerana secara prinsipnya, kerajaan percaya subsidi penting bagi golongan dan sektor yang memerlukan.
“Namun, kita mesti faham bahawa sumber kerajaan adalah terhad manakala permintaan pula, sifatnya tidak berkesudahan.
“Justeru, untuk menjadi sesuatu faktor yang positif, subsidi mesti dioptimumkan dengan memberikannya kepada kumpulan dan sektor sasar yang benar-benar memanfaatkan rakyat dan negara.
“Maksudnya di sini, adalah tidak adil kepada mereka yang memerlukan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan, seandainya subsidi diberikan secara pukul rata tanpa mengira kemampuan,” katanya.
Najib berkata bagi memastikan disiplin fiskal terlaksana dengan berhemah, bukan sahaja perbelanjaan wajar dikawal malah sumber hasil juga harus ditingkatkan.
Beliau berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana pihak untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang bersifat populis tanpa menjelaskan kepada rakyat apakah kos sebenar serta apakah pula pelan dan rencana untuk membiayainya.
Katanya dengan hanya menyatakan bahawa ia akan dibiayai semata-mata daripada hasil penjimatan ketirisan bukanlah satu penjelasan yang telus dan sepatutnya kerana ia tidak menceritakan kedudukan sebenar dan tidak menjelaskan secara terang kepada rakyat tentang keperluan sebuah kerajaan yang baik untuk menambah hasil dan mengelak daripada dilanda sindrom “ketagihan” sumber asli.
Oleh itu, Najib berkata dalam membuat pilihan, berwaspada serta berhati-hati dan jangan mempertaruhkan masa depan anak-anak kepada “tangan mereka yang tidak bertanggungjawab”.
“Begitulah dalam kehidupan bernegara, kita berada pada satu titik di garisan yang amat penting. Di antara masa depan yang lebih cerah dengan kemakmuran atau masa depan yang kelam dan kekurangan.
“Ini bukanlah masa untuk mencuba-cuba, ini bukanlah masa untuk bereksperimen sebaliknya ini adalah masa untuk terus berpegang dan berpaut kuat dengan apa yang telah sedia terbukti dan teruji sejak sekian lama,” katanya.
Pakatan pembangkang telah memperkenalkan apa yang dipanggil sebagai “buku jingga” yang menjanjikan antara lainnya imbuhan bulanan RM500 kepada guru, menghapuskan tol dan menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan