Rabu, 30 Mac 2011

Kontena Nasional Bantu Perbaiki 10 Rumah Daif Sekitar Ampang

AMPANG, 30Mac- Sebanyak sepuluh buah rumah daif dikenal pasti untuk dibantu Kontena Nasional melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sudah disusun pihaknya sejak dua tahun lepas, dengan permulaan melawat dan memberi bantuan kepada rumah anak-anak yatim sebelum ini, ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional, Hood Osman.

“Kontena Nasional mengambil berat keperluan rakyat terutama yang berada di pusat kebajikan dan keluarga-keluarga daif sebegini bagi menyediakan mereka dengan bantuan barangan keperluan dan sokongan moral.

“Buat masa ini, berdasarkan pengalaman yang ada di GLC untuk kita menjadi syarikat yang prihatin kepada keadaan mereka yang tidak bernasib baik ini dapat dibantu dan Kontena Nasional sebagai sebuah syarikat di bawah Permodalan Nasional Berhad mengambil berat dan kita bantu setakat yang kita boleh bantu,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan bantuan berkenaan.

Menurutnya, bantuan yang akan diberikan bukan dalam bentuk wang tunai sebaliknya Kontena Nasional akan membantu dari segi membaik-pulih semula rumah-rumah ini untuk lebih selesa diduduki oleh keluarga-keluarga yang berkenaan.

Dalam masa yang sama, Ketua MIC cawangan Tasik Campuran, P. Gopalakrisnan melihat usaha yang dilakukan Kontena Nasional ini merupakan satu tindakan yang cukup baik dalam membantu golongan yang memerlukan seperti keluarga ini.

“Saya juga melihat usaha kepimpinan BN untuk turun padang seperti ini satu pendekatan terbaik dalam melihat sendiri dan berusaha untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku di peringkat akar umbi. Saya harap, selepas ini usaha dan pendekatan ini tidak berhenti setakat ini,” ujarnya yang juga merupakan Naib Ketua MIC Bahagian Ampang. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan