Selasa, 8 Mac 2011

Jangan Cuba Perlekeh Teguran Yang DiPertuan Agong

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Rakyat serta pihak-pihak tertentu di negara ini sewajarnya menjadikan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat semalam sebagai ingatan dalam memastikan kesejahteraan dan kestabilan dalam negara terus berkekalan, kata penganalisis politik, Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek.

Ujarnya, sebagai ‘payung mahkota’ Baginda memberi ingatan kepada seluruh masyarakat tanpa melihat kepada idealogi politik atau perbezaan dalam anutan agama dan meliputi semua bangsa.

“Baginda amat prihatin dan memberikan pesanan berdasarkan kecenderungan yang berlaku sejak akhir-akhir ini khususnya apabila ada pihak yang sengaja mewujudkan ruang dan peluang dengan menggunakan isu-isu sensitif dan bersifat perkauman sebagai alternatif untuk mengganggu keharmonian negara bagi mendapatkan kuasa politik,” katanya kepada UMNO-Online.com.

Beliau berkata demikian dalam mengulas berkaitan ingatan Yang di-pertuan Agong dalam titah baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen yang memandang berat cubaan pihak-pihak tertentu dalam mempolitikkan perkara yang tidak sepatutnya.

Dalam ucapannya, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa soal kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hak kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dipersoalkan bagi mengelak perpecahan.

“Saya melihat sebarang situasi yang melibatkan hal-hal terbabit seolah-olah mencabar apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 153.

“Kalau kita kaji sejarah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan juga Perlembagaan Persekutuan 1957, Artikel 153 ini adalah tonggak kepada Perlembagaan negara yang mana salah satu artikel berbentuk ‘entrenched’, iaitu adalah salah satu perkara yang bukan hanya tidak boleh dipinda tetapi juga adalah terlarang untuk diperkatakan,” tegasnya.

Abdul Halim yang juga pensyarah Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut menjelaskan bahawa apabila hal-hal yang bersifat sensitif khususnya kenyataan ketuanan Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan apa jua yang berkaitan dengan Artikel 153 dan lain-lain perkara dikatakan dengan begitu terbuka dan dijadikan bahan politik maka ianya bukan hanya berbentuk cabaran tetapi juga sesuatu yang memperlekehkan kedudukan, status hak orang-orang Melayu dan Majlis Raja-raja Melayu.

“Bagi saya, teguran Yang di-pertuan Agong adalah amat tepat dan sebagai rakyat Baginda, semua pihak perlu patuh serta tidak lagi menggunakan hal-hal berkaitan sebagai senjata politik.

“Secara tidak langsung, Baginda menyebut berkaitan hal-hal terbabit dengan melihat betapa perlunya menghormati apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, menerima apa yang ada di dalamnya dan lebih penting ialah memahami aspirasi dan pembentukan negara ini,” katanya.

Jelas beliau lagi, pandangan sinis sesetengah pihak terhadap Artikel 153 juga adalah ekoran wujudnya rasa pentingkan diri sendiri tanpa melihat kepada konsep kekitaan dan toleransi dalam negara ini.

“Kita telah merdeka selama lebih dari 50 tahun dan selama ini kita mampu mengecap kedamaian adalah kerana kita saling menghormati, menerima dan menghayati apa yang terkandung dalam Perlembagaan negara.” – MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan