Selasa, 22 Mac 2011

Buku Jingga Bukan Untuk Rakyat Sarawak, Kata Hishammuddin

22 Mac, 2011 21:47 PM

PUTRAJAYA, 22 Mac (Bernama) -- Buku Jingga "karangan" pakatan pembangkang bukan untuk rakyat Sarawak kerana ia tidak sesuai dengan kehendak dan citarasa rakyat negeri itu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Untuk bawa ke Sarawak sudah agak terlewat di mana ia seperti tiada kaitan langsung," kata Menteri Dalam Negeri itu kepada media ketika ditanya penerimaan Buku Jingga itu di Sarawak.

"Kita di dalam kerajaan telah pun melihat kepada isu-isu yang dibangkitkan seperti hak milik tanah, pembangunan luar bandar juga keperluan asas elektrik dan air. Ini semua telah kita laksanakan dan bukan semata-mata janji," katanya.

Katanya Buku Jingga ini menunjukkan perbezaan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) di mana mereka melakukan sesuatu kerana mengambil kesempatan suasana pilihanraya.

Pakatan pembangkang mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan berbentuk jangka pendek dan jangka panjang dalam mentadbir negara sekiranya mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam pakatan itu dikeluarkan pada Disember lalu dan disebut sebagai rencana dasar serta kebijakan untuk membela rakyat berlandaskan empat kerangka.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan