Ahad, 27 Mac 2011

Senarai masih dalam tapisan

MUKAH 27 Mac – Senarai nama calon Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat atau Sabtu ini untuk dimuktamadkan.

Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kini senarai berkenaan masih berada dalam proses tapisan.

Sehubungan itu katanya, senarai penuh calon itu hanya akan diumumkan selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri.

“Senarai memang sudah ada, bagaimanapun belum diputuskan tetapi saya telah mengenal pasti calon bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sama ada yang akan dikekalkan atau digugurkan, tetapi yang pasti akan ada muka baru.

“Bagi parti-parti komponen yang lain pula, saya belum mendapat senarai semua calon daripada mereka tetapi apa yang pasti menjelang 1 April, senarai lengkap itu akan saya peroleh,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan PBB Balingian di Bandar Baharu, di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Taib meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kedudukan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Larry Sng Wei Shien yang kini tidak ada parti selepas disingkirkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang merupakan komponen BN.

Katanya, semua pihak perlu menghormati perundingan yang dilakukan oleh pihak berkaitan kerana ia masih berjalan.

‘‘Jika saya memberi komen sekarang, bukankah ia akan mengganggu perundingan pihak-pihak terbabit?. Kita tunggu, pasti ada hasil perundingan mereka nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Taib menegaskan, beliau mempunyai cara dan pendekatan sendiri dalam menangani sesuatu isu melibatkan BN Sarawak tanpa perlu campur tangan pihak luar.

“Pada saya, setiap permasalahan ada penyelesaian dan sebarang percanggahan perlu diselesaikan secara muafakat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan