Jumaat, 25 Mac 2011

UMNO Tak Terlibat Rakaman Video – Najib


KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak membidas mana-mana pihak yang membuat tuduhan terhadap UMNO berkaitan isu rakaman video yang dikatakan melibatkan pemimpin pakatan pembangkang.

Katanya, UMNO langsung tidak terlibat dalam hal terbabit malahan turut ingin tahu kebenaran dan kesahihan membabitkan perkara tersebut.

“Soalnya kenapa UMNO yang mahu dipersalahkan sedangkan perkara sebenarnya ialah adakah perkara tersebut (rakaman video) itu benar atau tidak dan jangan pula bangkitkan persoalan berkaitan konspirasi dan lain-lain?”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, PWTC, di sini.

Jelasnya lagi, sekiranya rakaman terbabit adalah sahih maka tentunya satu perbuatan kemungkaran telah berlaku, dan kerana itu pihak berkuasa perlu melaksanakan tugas dengan profesional dan telus bagi membuktikan kebenarannya.

“Soal keperluan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat hal tersebut adalah terpulang kepada keputusan kerajaan dan pihak polis perlu tunjukkan bukti yang sahih kalau ada perbuatan yang mengubah video tersebut secara teknikal kerana perkara seperti ini amat mudah dikesan,” katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri telah memaklumkan berkaitan perkembangan pengurusan dalam parti dengan keahlian terkini UMNO ialah 3,233,586 orang.

Dalam masa yang sama, beliau turut memberitahu bahawa anggota MT telah bersetuju untuk mengadakan majlis sambutan ulang tahun penubuhan UMNO pada tarikh penubuhannya iaitu 11 Mei depan.

“Majlis ini diadakan seperti biasa dengan dimulakan solat maghrib, bacaan surah yassin, tahlil dan solat isyak seterusnya diikuti oleh majlis makan malam dan upacara menaikkan bendera UMNO,” katanya.

Turut disebut, MT terima rayuan pelepasan hukuman bekas ketua Pemuda UMNO Sabah Datuk Japlin Akim dan memutuskan bahawa beliau dilepaskan daripada hukuman pergantungan serta kembali hak sepenuhnya sebagai ahli UMNO. – MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan