KUALA LUMPUR: Pelan transformasi dan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan adalah bertepatan dengan peredaran masa, terutama apabila kepentingan rakyat paling utama dalam membuat sebarang keputusan seiring slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, berkata dalam situasi sekarang di mana rakyat lebih bermaklumat terutama golongan muda, pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berinteraksi dengan rakyat wajar dipuji.
“Pada zaman ini, rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dan langkah mendapatkan pandangan rakyat berkaitan pelbagai isu dan perancangan kerajaan adalah sesuatu perubahan yang baik.
Sebelum ini, pihak pembangkang melancarkan Buku Jingga yang dibahagi kepada dua kategori iaitu 10 janji yang akan dilaksanakan dalam 100 hari jika pembangkang menjadi kerajaan persekutuan dan 39 janji di bawah tajuk ‘Dasar Bersama’.
Ismail berkata, penubuhan pelbagai suruhanjaya dan badan pemantauan berkaitan isu dan institusi kerajaan tertentu termasuk Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU) turut membawa perubahan positif terhadap sistem penyampaian awam.
Selain PEMANDU, reformasi yang dilaksanakan termasuk penubuhan Suruhanjaya Diraja Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah.
Ismail percaya tentunya Perdana Menteri sendiri masih tidak berpuas hati dengan pencapaian ketika ini dan tentunya antara usaha perlu diberi fokus adalah untuk mengubah tahap pemikiran kakitangan sektor awam.
“Setiap rakyat perlu yakin dengan keupayaan diri masing-masing, barulah ia seiring dengan pelan komprehensif dan konsultatif kerajaan,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata, adalah sukar untuk pihak pembangkang untuk menghasilkan sesuatu perubahan dalam tempoh masa 100 hari seperti yang dijanjikan menerusi buku berkenaan kerana kerajaan sedia ada sudah lebih 50 tahun berkhidmat kepada rakyat secara konsisten.
Beliau juga menganggap janji pihak pembangkang itu sebagai tidak realistik kerana mana mungkin melakukan perubahan drastik dalam masa 100 hari sedangkan pindaan undang-undang terutama memerlukan kelulusan pada peringkat Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan