SABUYAU (SARAWAK), 27 Mac – Penduduk Sarawak tidak seharusnya menjadikan pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini, sebagai tempat membuat uji kaji dengan memberi peluang kepada pembangkang untuk memenangi sesuatu kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya tersebut, kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Beliau berkata jangan mempertaruhkan masa depan negeri Sarawak hanya semata-mata mahu mencuba sesuatu yang baru dalam politik pembangkang yang sebenarnya telah terbukti gagal untuk membawa apa-apa perubahan kepada rakyat.
“Pilihan raya bukan tempat mahu buat ujian, ujian…saya sebagai anak Sabah telah merasai bagaimana peritnya 10 tahun berada di bawah pemerintahan pembangkang, kesannya amat perit sekali iaitu Sabah yang suatu ketika antara negeri termaju selepas itu jatuh,” katanya ketika berucap pada majlis pemimpin
bersama rakyat di sini hari ini.
Katanya kesan daripada sesuatu uji kaji melalui penukaran kerajaan yang memerintah bukan dirasai hari ini, sebaliknya ia akan memberi kesan kepada generasi akan datang.
Menurutnya kerajaan yang sedia ada di bawah Barisan Nasional (BN) telah terbukti banyak membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat serta negeri Sarawak dan ia seharusnya dipertahankan pada pilihan raya negeri nanti.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata pembangkang tidak ada pengalaman dalam mentadbir kerajaan dan kesannya kini sudah boleh dilihat di Selangor sebagai contoh apabila Yayasan Selangor yang sebelum ini mempunyai dana sebanyak RM67 juta, selepas empat tahun memerintah menghadapi masalah defisit sebanyak RM7 juta.
“Jangan permain masa depan anak-anak kita, hanya kerana marah seekor nyamuk, kelambu habis dibakar,” katanya.
Dalam pada itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata pembangkang hanya datang lima tahun sekali iaitu ketika musim pilihan raya dan mereka tidak faham malah langsung tidak mengetahui apa masalah rakyat di peringkat bawahan sebaliknya apa
yang mereka tahu hanyalah mengkritik kerajaan sahaja.
“Jangan nak tahu masalah rakyat, jalan mana yang perlu mereka pakai untuk ke kampung (Lingga) pun mereka tidak tahu, orang macam inikah yang kita mahu pilih jadi pemimpin,” katanya.
Sarawak yang mempunyai 71 kerusi DUN akan mengadakan pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini manakala pencalonan pada 6 April.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan