KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata model baru politik Barisan Nasional (BN) bukan sahaja memahami permasalahan rakyat tetapi menjurus ke arah menyelesaikanya dengan mengambil tindakan yang berkesan.
Mengambil contoh apa yang diusahakan oleh Pemuda BN menerusi Karnival Kerjaya 2011 yang terbesar pernah diadakan di negara ini, Najib seterusnya menambah, ianya menunjukkan permasalahan golongan muda dalam soal pekerjaan telah diambil kira.
“Sebab itu saya nasihatkan kepada Pemuda sebelum ini agar mengadakan makmalnya dan daripada itu kita dapat cungkil segala permasalahan oleh generasi muda. Setelah mengenalpasti dalam soal ekonomi dan perkara lain, kita mencari jalan penyelesainnya.
“Inilah yang saya maksudkan sebahagian daripada model baru politik. Ya, ini kita tahu masalah rakyat, kita ambil tindakan untuk selesaikan masalah rakyat. Kita cari jalan penyelesaian kreatif dan kita tidak tunggu rakyat datang kepada kita tetapi kita pergi kepada rakyat.
“Ini berbeza dengan pendekatan lama di mana tumpuan lebih diberi kepada soal intra politik seperti urusan cawangan dan bahagian serta membuat desakan kepada kerajaan bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan rakyat.
“Inilah konsep kita. Semoga BN akan terus menjadi parti pilihan rakyat Malaysia,” katanya berucap melancarkan “BN Youth Job Fair 2011″ di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S.Subramaniam, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pimpinan BN pelbagai peringkat yang lain.
Najib yang juga Pengerusi BN seterusnya menyatakan bahawa kejayaan Karnival Kerjaya Pemuda BN yang menawarkan 40,000 peluang pekerjaan memberi satu mesej yang jelas.
“Maknanya ekonomi negara berkembang…..kalau tidak berkembang bagaimana peluang pekerjaan boleh mengjangkau 40,000 ditawarkan kepada anak muda seluruh negara. Ini bukan berlaku dengan sendiri tetapi kita beri keyakinan kepada sektor swasta, GLC dan sebagainya untuk buat pelaburan dan sebagainya.
“Jika ekonomi berada dalam sebaliknya, apakah Job Fair seumpama ini mampu menawarkan peluang sedemikian rupa dan mencapai kejayaan sepertimana hari ini,“ katanya .
Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata jika BN tidak faham dan tidak dapat merasai denyutan hati rakyat, maka parti itu tidak mungkin dapat mencari penyelesaian tepat menangani permasalahan yang dilalui rakyat.
Katanya pada hemat beliau, transformasi politik akan menyokong apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan dalam soal transformasi ekonomi melalui Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.
Katanya transformasi politik bersandar pada model baru politik yang menuntut BN supaya lebih memahami persekitaran yang wujud pada hari ini iaitu perubahan struktural yang sedang berlaku dalam masyarakat.
“Kita menghadapi satu cabaran amat besar bagaimana memprojekkan (menonjolkan) BN sebagai parti yang tetap relevan kepada setiap zaman dan ketika…segar dan dinamik dan mampu berubah meskipun terus berkuasa. Tetapi tema perubahan itu tidak (harus) dilakukan oleh pihak lain tetapi obor ini dibawa oleh parti kita, BN,” katanya.
Menurut beliau, BN sebagai sebuah parti politik, tidak boleh berada dalam keadaan terlalu selesa dengan apa yang telah dilakukan dan dicapai selama ini.
“Kita sedia bawa perubahan kepada negara ini menerusi BN,” katanya. -MediaUMNO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan