KUALA LUMPUR, 7 Mac – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini bertitah Seri Paduka Baginda memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara yang tidak sepatutnya.
Menurut Seri Paduka Baginda, soal kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hak kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dipersoalkan bagi mengelak perpecahan.
“Beta menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” titah baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini.
Tuanku Mizan bertitah walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun kesederhaan diamalkan dengan subur di negara ini yang membolehkan agama-agama lain diamalkan dengan aman damai serta hari-hari perayaan agama lain turutdiiktiraf dengan dijadikan hari cuti umum.
Bagi menjamin keamanan di negara ini, Seri Paduka Baginda berharap badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program dan aktiviti masing-masing, hendaklah mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara.
Yang di-Pertuan Agong juga bertitah walaupun ekonomi negara telah mengalami pemulihan yang pantas, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia perlu peka terhadap faktor luaran seperti ekonomi global tidak menentuyang menjadi cabaran kepada usaha mengukuhkan ekonomi negara dan seterusnya usaha untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.
Seri Paduka Baginda berharap Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan akan memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat agar mereka berupaya menikmati peningkatan dalam mutu kehidupan antaranya dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Malaysia yang berada di tangga ke-10 dalam Laporan Daya Saing Dunia 2010 namun berharap Malaysia tidak cepat berpuas hati dengan kedudukan itu.
Mengenai kualiti pendidikan, Seri Paduka Baginda bertitah transformasi pendidikan di peringkat sekolah khususnya berkaitan dengan kurikulum standard yang diperkenalkan akan dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan.
Tuanku Mizan mahu supaya kualiti dan kemahiran guru dan pensyarah dalam pengajaran dan pembelajaran dipertingkatkan lagi di samping mengekalkan sikap berdedikasi dan berintegriti.
Seri Paduka Baginda berharap penubuhan Agensi Inovasi Malaysia dan penggubalan Dasar Industri Kreatif dapat menyemarakkan lagi penciptaan kekayaan melalui aktiviti inovasi dan industri kreatif multimedia.
Tuanku Mizan melahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia atas usaha dan komitmen tinggi pasukan itu dalam memerangi kegiatan jenayah, dan menyifatkan penurunan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 15 peratus dan jenayah jalanan sebanyak 35 peratus pada 2010, sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan dan melepasi sasaran ditetapkan.
Seri Paduka Baginda turut mengalu-alukan kerjasama strategik antara PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menangani jenayah seperti menggunakan kem-kem tentera untuk melatih anggota polis, menyerap bekas tentera dalam perkhidmatan polis dan mengadakan rondaan secara bersama.
“Beta amat tertarik dengan perkembangan tersebut kerana sebelum ini jarang sekali kerjasama strategik seperti ini diadakan. Ia merupakan petanda positif yang akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat dan negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Tuanku Mizan menyeru semua pihak agar memberi sokongan padu dan keyakinan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di negara ini.
Yang di-Pertuan Agong turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam Ops Piramid untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari Mesir ekoran pergolakan di negara itu baru-baru ini.
Seri Paduka Baginda turut menyeru semua pihak agar sentiasa mengekalkan keharmonian serta maruah negara dengan menjadi warga yang bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Sayugia diingatkan bahawa perbuatan fitnah memfitnah yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama. Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah,” titah Seri Paduka Baginda.
Kepada Anggota Parlimen, Tuanku Mizan mengingatkan mereka sentiasa mempamerkan tingkah laku terpuji dan berbahas dengan tertib dengan menyumbangkan pemikiran yang bernas serta sentiasa melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Ingatlah rakyat sentiasa menuntut perkhidmatan yang terbaik dari setiap pemimpin yang mereka pilih,” titah Seri Paduka Baginda.
Tuanku Mizah juga mengucapkan tahniah kepada atlet yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa termasuk di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Bola Sepak AFF Suzuki, di samping berharap atlet Malaysia akan terus beraksi cemerlang pada Sukan Olimpik 2012 di London kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan