Isnin, 21 Mac 2011

Muka baru, muda bakal barisi calon BN Sarawak?


21/03/2011 7:39pm

KUCHING 21 Mac - Barisan calon Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi pilihan raya negeri akan datang yang dijadual diumumkan sehari sebelum penamaan calon, bakal menyaksikan perubahan besar dalam senarai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), daripada segi muka baru yang akan dicalonkan.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Pengerusi BN Negeri dan Presiden PBB berkata, sudah menjadi amalan pengumuman senarai muktamad calon hanya dibuat selepas disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN pusat.

"Saya masih belum menerima senarai bagi tiga lagi parti komponen BN negeri tetapi kira-kira sesuku daripada 35 calon PBB adalah muka baru dan muda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sarawak 2011 di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat di sini pada Rabu untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian selepas Dewan Undangan Negeri dengan 71 kerusi dibubarkan hari ini untuk diadakan pilihan raya negeri ke-10, dijangka bulan depan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan