KUALA LUMPUR, 25 Mac – Penganalisis politik tanah air, Prof Dr Shamsul Adabi Mamat melihat tindakan pakatan pembangkang yang mengutarakan buku jingga sebagai satu alat untuk dijadikan gula-gula politik bagi mendapatkan sokongan untuk menukar pentadbiran negara.
Katanya, jika diamati secara keseluruhan kandungan buku tersebut hanyalah satu cubaan transformissional pakatan pembangkang untuk cuba mengubah status quo kerajaan sedia ada.
“Dalam bahagian pertama, buku ini menyebut tentang perubahan yang dilihat dari sudut politik ialah daripada Barisan Nasional kepada pakatan pembangkang sedangkan jika difikirkan secara wajar, alasan-alasan yang diutarakan dan fakta yang diberikan dalam buku tersebut hanyalah bersifat marginal sahaja,” katanya.
Terangnya lagi, buku jingga yang diperkenalkan oleh PKR pada satu konvensyennya tahun lepas dianalisis melalui pembahagian kepada lima perkara iaitu perubahan pentadbiran, kononnya negara dalam keadaan krisis, keadilan sosial, program 100 hari dan juga hak agama Islam serta orang-orang Melayu.
“Mereka menyebut bahawa negara sekarang sedang berdepan dengan krisis misalnya dalam sudut ekonomi, institusi pentadbiran negara, ketegangan kaum, pendidikan dan lain-lain lagi sedangkan apa yang digambarkan oleh mereka bukanlah memperlihatkan keadaan yang sebenar.
“Kita lihat ekonomi negara terus berkembang biarpun berlaku kenaikan bagi sesetengah barangan keperluan yang tentunya ekoran daripada kenaikan harga pasaran dunia tetapi secara keseluruhannya kerajaan masih mampu mengawal selain memberikan subsidi ke atas barang-barang terbabit.”
Jelasnya lagi, pakatan pembangkang sengaja melihat kepada kepincangan yang terlalu kecil untuk dijadikan modal dan diperbesar-besarkan kononnya rakyat secara keseluruhannya menanggung beban ekoran daripada kerajaan yang zalim.
“Jika mereka bercakap soal bebanan rakyat, maka bebanan yang bagaimana sedangkan rakyat negara ini secara keseluruhannya masih mampu bebelanja dengan baik meliputi barang keperluan dan memenuhi sesetengah kehendak.
“Mereka mengutarakan kononnya berlaku ketegangan kaum sedangkan realitinya, berdasarkan kepada konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kita dapat melihat hubungan antara kaum semakin akrab dan tidak ada sebarang pergolakan berlaku,” tegasnya.
Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menegaskan juga bahawa keadilan sosial yang dikemukakan oleh pakatan pembangkang hanyalah gambaran mereka sebagai cubaan untuk mengaburi rakyat agar menolak BN sebagai kerajaan.
“Memang tidak dinafikan wujud kekurangan tetapi ia terlalu kecil jika dibandingkan dengan apa yang kita telah bina selama ini. Untuk apa kita mahu musnahkan sebuah kerajaan yang telah mantap sedangkan kita mempunyai peluang untuk membuat penambahbaikan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pakatan pembangkang ini cuba mewujudkan jurang antara masyarakat dalam cubaan mereka untuk meruntuhkan kerajaan BN.
“Mereka menjanjikan kuasa autonomi kepada Sabah dan Sarawak sekiranya berkuasa dengan gambaran seolah-olah kerajaan pusat mengawal sepenuhnya negeri-negeri terbabit.
“Lebih bahaya lagi untuk jangka masa panjang ia akan mewujudkan hubungan yang negatif antara Semenanjung dengan dua negeri di Malaysia Timur tersebut.”
Selain itu, program 100 hari yang diuwar-uwarkan oleh pembangkang juga adalah sesuatu yang sangat tidak munasabah untuk diaplikasikan.
“Dalam hal ini mereka menyebut berkaitan SPR, SPRM, PDRM dan macam-macam lagi seolah-olah badan-badan tersebut tidak berwibawa sedangkan tahap profesionalisme mereka sangat tinggi dan telah diuji dengan bermacam-macam insiden.
“Janji-janji mereka hanya sedap didengar sedangkan realitinya ia akan gagal untuk dilaksana sebagaimana manifesto mereka dalam PRU 2008 apabila diberi mandat mentadbir tapi kemudiannya gagal melaksanakan apa yang telah diperkatakan.”
Tambahnya lagi, inikan pula kononnya pakatan pembangkang mahu mengutamakan agama Islam dan hak orang Melayu sedangkan melalui kerajaan BN semua perkara tersebut telah pun dimetrai melalui Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat perlu berfikir dengan matang dan jangan terpengaruh semata-mata gula-gula sedemikian oleh pakatan pembangkang,” katanya. - MediaUMNO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan