Isnin, 21 Mac 2011

Pemuda BN Kempen Bersepadu Di Sarawak


KUALA LUMPUR 21 Mac – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu akan menggunakan kaedah kempen bersepadu pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau kempen tersebut akan memberi tumpuan kepada kawasan yang berkemungkinan besar menawarkan calon muda serta kawasan yang bakal menyakiskan pertandingan sengit antara BN dan pihak lawan.

“Kita akan lancarkan jentera Pemuda BN Sarawak pada 2 April nanti dan selepas itu kita akan adakan beberapa siri program yang akan diketuai oleh saya dan kepimpinan BN yang lain di kawasan yang akan kemungkinan besar menawarkan calon muda daripada BN.

“Selain itu kita juga akan beri tumpuan terhadap kawasan yang kita anggap kawasan strategik iaitu kawasan yang bakal menyaksikan saingan sengit antara BN dan pembangkang. Jadi banyak program kita akan tertumpu pada kedua-dua kawasan-kawasan yang menepati dua kriteria tersebut.

“Jadi kita akan ambil pendekatan bersepadu antara pemimpin pusat yang akan membantu kempen yang akan diterajui oleh pemimpin Pemuda di Sarawak sebab mereka lebih arif dengan isu-isu negeri berkenaan terutamanya isu-isu tempatan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN di sini, hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah, kempen pergerakan itu juga akan meliputi media baru dalam usaha memastikan mesej yang hendak disampaikan dapat disalurkan secara menyeluruh.

“Pendekatan kempen kita juga akan meliputi media sosial terutama menggunakan facebook dan twiter untuk memastikan mesej kita sampai kepada genersi muda dan kita tidak hanya bergantung kepada kaedah kempen tradisi iaitu perjumpaan biasa.

“Insyaallah kita akan berkempen secara aktif menerusi online agar mesej kita dan juga apa sahaja yang kita jawab dapat kita buat dengan cepat dan pantas dan terus sampai kepada kumpulan sasar kita,” katanya.

Berhubung calon muda, Khairy memberitahu pihaknya telah dimaklumkan secara anggaran calon-calon muda sedang dalam pertimbangan pucuk pimpinan negeri dan kepimpinan BN pusat.

“Kita diberitahu anggaran….saya tidak perlu sebut di sini sebab itu maklumat yang kita perolehi secara dalaman tetapi boleh dikatakan bahawa kita akan lihat beberapa muka-muka daripada pimpinan Pemuda BN Sarawak.

“Antaranya ketua-ketua Pemuda daripada parti komponen, bukan semua, tetapi sebahagian sedang dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan negeri dan juga pucuk pimpinan BN pusat sebagai calon untuk pilihan raya negeri akan datang.

“Dan saya gembira sekiranya lebih ramai lagi dapat dipilih kerana kita nak yakinkan pengundi muda Sarawak bahawa BN adalah pilihan orang muda .Itu sebenarnya pendekatan kita dan “ tagline” kita BN pilihan orang muda di Sarawak,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan