Sabtu, 5 Mac 2011

Guna Kuasa Undi Dengan Bijak, Pilih Calon BN

JASIN, 5 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat perlu bijak membuat pilihan pada dua pilihan raya kecil esok, dengan memilih calon Barisan Nasional (BN) kerana parti pemerintah telah terbukti mampu menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya membawa keamanan dan ketenteraman kepada negara ini.

Beliau mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan pembohongan yang dilakukan pembangkang semasa berkempen pada pilihan raya kecil berkenaan kerana kerajaan telah melakukan pelbagai dasar termasuk dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata sikap pembangkang yang gemar menabur fitnah serta menghasut rakyat untuk membenci Barisan Nasional (BN) ketika berkempen pada pilihan raya kecil berkenaan membuktikan mereka berniat jahat dengan tidak menghargai kesejahteraan dan perpaduan negara.

“Jangan sokong mereka dan jangan undi…mereka tidak dapat membantu anda-anda sekalian,” katanya ketika berucap di majlis jalinan mesra rakyat dan mesra pengguna di Taman Air Merbau di sini, hari ini.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengutamakan rakyat dalam setiap dasar yang dilaksanakan, membuktikan keprihatinan kerajaan untuk membangunkan rakyat dan negara agar terus maju.

“Saya yakin pengundi dapat menerima baik pendekatan dan penjelasan yang diberikan mengenai situasi politik negara, mereka harus tidak salah memilih serta keluar mengundi, menyokong calon BN,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sebuah negara aman tanpa peperangan mahupun permusuhan sepertimana yang berlaku di luar negara malahan tiada rakyat yang kebuluran.

“Apabila kita ke luar negara semua orang tahu Malaysia adalah sebuah negara yang baik dan kita harus bersyukur negara kita tiada malapetaka dan bencana alam yang besar dan kerajaan akan membantu membuat yang terbaik untuk rakyat,” katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan