Rabu, 30 Mac 2011

Khidmat Perunding Luar Antara Input GLC Tingkat Prestasi

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Penggunaan khidmat perunding luar dalam menyediakan sistem dan panduan amalan terbaik, menjadi antara input yang membolehkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam Program Transformasi GLC, meningkatkan prestasi masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasil sumbangan perunding terbabit membolehkan kumpulan G-20 menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mencatatkan peningkatan keuntungan bersih agregat sebanyak RM19.3 bilion pada 2007 berbanding RM9.6 bilion sebelum Program Transformasi GLC dilancarkan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), sumbangan penambahbaikan proses dan penilaian pelaburan yang matang menyaksikan nilai bersih diselaraskan portfolio Khazanah meningkat daripada RM33.3 bilion pada Mei 2004 kepada kira-kira RM53.8 bilion pada Dis 2009.

“Prestasi pelaburan terkini menunjukkan Khazanah berjaya mencatatkan pertumbuhan nilai bersih pada kadar kira-kira 13 peratus setahun dalam tempoh enam tahun lepas,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Najib menjawab pertanyaan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mengenai jumlah kos perundingan yang dibayar oleh Khazanah untuk semua projek sejak 2003, berserta butiran nama firma perunding projek, jumlah dan tarikhnya.

Najib berkata Khazanah menggunakan khidmat pelbagai perunding luar untuk tujuan runding cara berkaitan pelaburan seperti nasihat perundangan, khidmat juru audit dan perunding kewangan serta runding cara am seperti penambahbaikan sistem operasi dan teknologi maklumat.

“Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai nama-nama firma perunding dan juga jumlah yang dibayar ini tidak dapat dinyatakan kerana ia tertakluk kepada antara lainnya, pertimbangan komersial dan kerahsiaan yang lazimnya dimeterai antara dua pihak,” katanya.

Najib berkata bagi rundingan am, peningkatan sistem perakaunan dan proses membentuk sebahagian besar daripada kos penggunaan perunding sementara bagi tujuan pelaburan mewakili kira-kira 0.7 peratus jumlah nilai transaksi pelaburan dan penjualan yang dilaksanakan oleh Khazanah antara 2003 dan 2009.

“Jumlah itu jauh lebih rendah daripada kadar pasaran iaitu antara 1 peratus dan 1.5 peratus, yang lazimnya dikenakan oleh perunding luar. Penggunaan perunding khidmat runding cara pelaburan juga penting bagi membantu Khazanah membuat keputusan pelaburan yang tepat.

Najib berkata adalah menjadi amalan terbaik untuk melaksanakan penilaian berhemah dari segi kewangan dan perundangan sebelum pelaburan atau pembelian dilaksanakan oleh Khazanah.

Sebarang pelaburan atau pembelian yang dilaksana tanpa penilaian berhemah yang sewajarnya merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata perunding yang dilantik oleh Khazanah pula terdiri daripada pihak tempatan dan juga asing yang dipilih berdasarkan kepakaran dan mutu perkhidmatan masing-masing.

Menurutnya Khazanah juga mempunyai sistem yang mantap bagi menilai prestasi para perunding serta memberikan maklum balas.

Beliau berkata kajian mengenai sektor ekonomi adalah merupakan bahagian utama dalam mandat pelaburan Khazanah dan sebahagian besar daripada cadangan penyusunan semula industri memerlukan penggunaan perunding luar, selain cadangan yang diterima oleh kerajaan.

Tolak Janji Manis “Hantu” Dan “Jembalang” Pada 16 April Ini

KUCHING, 30 Mac – Rakyat Sarawak perlu menolak “hantu” dan “jembalang” yang akan datang dengan mulut yang manis membuat pelbagai janji dan tawaran tetapi sebenarnya hanya pembohongan dan kepalsuan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April depan adalah peluang terbaik bagi rakyat Sarawak berbuat demikian.

Muhyiddin berkata “hantu” dan “jembalang” itu sebahagiannya datang dari Semenanjung manakala sebahagian yang lain sudah ada di negeri ini.

“Perjuangan mereka hanya untuk kepentingan suku sakat mereka… bukan untuk semua rakyat. Ini (pilihan raya negeri) adalah detik penentuan yang penting bagi rakyat Sarawak untuk masa depan yang terjamin,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di pinggir Sungai Sarawak di Kampung Boyan-Gersik di sini hari ini.

Muhyiddin berkata Barisan Nasional (BN) tidak pernah berbohong kepada rakyat dan berharap rakyat terus memberi memberi sokongan apabila tiba masa penentuannya supaya rakyat Sarawak terus terbela.

Katanya apabila tiba pilihan raya, pertimbangan-pertimbangan tertentu perlu diambil kira dalam memilih parti yang boleh dipercayai untuk mewakili penduduk Sarawak.

Kita harus bersyukur negara kita dan Sarawak khususnya adalah negara dan negeri yang begitu aman, begitu stabil dan begitu maju.

“Pertimbangan utama yang perlu diambil kira (pada pilihan raya) adalah untuk menjamin politik yang terus kekal stabil, menjamin proses pertumbuhan ekonomi negeri terus mantap, menjamin pengagihan kekayaan yang ada di negara dan negeri dilakukan secara adil dan saksama serta menjamin masa depan generasi muda yang maju dan cemerlang,” katanya.

Muhyiddin berkata ini semua telah dilakukan oleh BN, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan program-program transformasi yang hebat.

“Kita tidak mahu Sarawak, negeri yang besar dengan penduduk yang ramai terpinggir daripada arus perdana. Kita tidak mahu Sarawak tidak terpaut dalam transformasi besar di peringkat nasional.

“Saya ingin mengajak rakyat Sarawak berganding bahu membantu BN untuk mengekalkan kuasa politik… kalau boleh lebih besar daripada pilihan raya dahulu,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang tiba di Kampung Boyan-Gersik dengan menaiki sampan pada pukul 2.30 petang, memulakan lawatan ke kampung itu dengan mengecat sebahagian surau sementara Kampung Gersik yang dalam proses baik pulih.

Beliau yang diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu kemudian melawat premis-premis yang mengusahakan kek lapis Sarawak, satu perusahaan yang cukup terkenal di kampung itu.

Timbalan Perdana Menteri kemudian mengunjungi orang kelainan upaya (OKU) Awang Ahmad Awang Bakri, 64, di Kampung Gersik, yang cacat kakinya sejak lahir, diikuti lawatan ke rumah seorang warga emas, Dayang Jamilah Abang Lias, 86, yang tinggal bersama seorang anaknya yang mengalami masalah mental.

Dalam lawatan ke rumah Awang Ahmad dan Dayang Jamilah, Muhyiddin meminta supaya kedua-dua mereka diberi bantuan oleh Baitulmal dan rumah mereka diperbaiki.

Kontena Nasional Bantu Perbaiki 10 Rumah Daif Sekitar Ampang

AMPANG, 30Mac- Sebanyak sepuluh buah rumah daif dikenal pasti untuk dibantu Kontena Nasional melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sudah disusun pihaknya sejak dua tahun lepas, dengan permulaan melawat dan memberi bantuan kepada rumah anak-anak yatim sebelum ini, ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional, Hood Osman.

“Kontena Nasional mengambil berat keperluan rakyat terutama yang berada di pusat kebajikan dan keluarga-keluarga daif sebegini bagi menyediakan mereka dengan bantuan barangan keperluan dan sokongan moral.

“Buat masa ini, berdasarkan pengalaman yang ada di GLC untuk kita menjadi syarikat yang prihatin kepada keadaan mereka yang tidak bernasib baik ini dapat dibantu dan Kontena Nasional sebagai sebuah syarikat di bawah Permodalan Nasional Berhad mengambil berat dan kita bantu setakat yang kita boleh bantu,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan bantuan berkenaan.

Menurutnya, bantuan yang akan diberikan bukan dalam bentuk wang tunai sebaliknya Kontena Nasional akan membantu dari segi membaik-pulih semula rumah-rumah ini untuk lebih selesa diduduki oleh keluarga-keluarga yang berkenaan.

Dalam masa yang sama, Ketua MIC cawangan Tasik Campuran, P. Gopalakrisnan melihat usaha yang dilakukan Kontena Nasional ini merupakan satu tindakan yang cukup baik dalam membantu golongan yang memerlukan seperti keluarga ini.

“Saya juga melihat usaha kepimpinan BN untuk turun padang seperti ini satu pendekatan terbaik dalam melihat sendiri dan berusaha untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku di peringkat akar umbi. Saya harap, selepas ini usaha dan pendekatan ini tidak berhenti setakat ini,” ujarnya yang juga merupakan Naib Ketua MIC Bahagian Ampang. -MediaUMNO

Malaysia Mahu Martabatkan Al-Quran

SHAH ALAM, 19 Jan – Malaysia mahu memainkan peranan aktif dalam menggerakkan usaha memartabatkan Al-Quran dan ilmu di kalangan umat Islam sejagat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia bertujuan mengembalikan kecemerlangan tamadun Islam kepada umatnya.

“Usaha ini dapat dimulakan dengan berkesan melalui penghayatan Al-Quran yang merupakan sumber ilmu teragung untuk kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat,” katanya menerusi ucapan yang disampaikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin pada majlis penutup Program Wakaf Al-Quran peringkat kebangsaan 2010 di sini malam ini

Program tersebut anjuran Kementerian Pertahanan dan Yayasan Restu dilancarkan sejak 11 Ogos 2010 bertujuan untuk mengedarkan Al-Quran termasuk kepada kaum minoriti Islam di negara seperti Kemboja, China dan Rusia.

“Kita rasa bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana dapat menyediakan naskah Al-Quran yang lengkap dengan terjemahan dalam bahasa ibunda mereka sebagai rujukan dan hidup mereka seharian,” kata Ahmad Zahid.

Warga Angkatan Tentera Malaysia bersama masyarakat Malaysia dilaporkan telah berjaya mengumpul dana melebihi RM1 juta bagi membiayai percetakan Al-Quran untuk diwakafkan kepada masyarakat minoriti Islam di negara lain.

Selasa, 29 Mac 2011

Kerajaan BN Tidak Pernah Politikkan Soal Pendidikan Rakyat

KUALA LANGAT, 29 Mac – Kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan pelajaran termasuk pendidikan agama, demikian tegas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan memberi contoh pembangunan sekolah sebagai satu bukti komitmen kerajaan BN membangunkan pendidikan beliau berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya tidak kira di mana sahaja, walaupun di negeri-negeri yang kini diperintah pakatan pembangkang seperti Selangor.

Jelas beliau lagi bidang pendidikan ini merupakan tanggungjawab kerajaan, yang tidak boleh dipandang remeh dan dipolitikkan kerana ia melibatkan masa depan anak bangsa termasuk di negeri Selangor.

“Dan sebab itu tidak ada seseorang rakyat, di mana sahaja kita berada terkecuali daripada menerima pendidikan yang cukup baik dan sempurna. Inilah cita-cita dan kepimpinan BN sejak mula sehinggalah ke hari ini.

”Soal pendidikan, kita tahu ia menjadi perkara yang paling utama. Perubahan besar dalam pembangunan negara kita pada hari ini adalah hasil usaha kita dari awal lagi untuk mendidik rakyat dengan ilmu pengetahuan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan Meraikan Ulangtahun 100 tahun Sekolah Kebangsaan Jinjang, dan Sarapan 1Malaysia di sini pagi tadi.

Tambahnya, bidang pendidikan kini menjadi agenda utama kepada negara kerana ia menyumbang kepada pembangunan negera di masa depan.

”Sebab itu, bidang pendidikan diletakkan sebagai salah satu sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Tetapi saya baca suratkhabar hari ini, ada pemimpin pembangkang, tidak percaya dengan apa yang disebutkan Perdana Menteri. Mungkin dia tidak baca dengan buku Transformasi Kerajaan yang telah dikeluarkan kerajaan. Saya cadangkan pemimpin pembangkang dan rakyat semua baca buku tersebut. Dalam buku tersebut, kita dah tulis satu-persatu kejayaan kita,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mempersoal tindakan pemimpin pembangkang yang mempersoalkan langkah dan pendekatan kerajaan dalam soal pendidikan ini.

“Kita tidak mempolitikkan hal-hal yang berkaitan pembangunan negara. Tidak pernah kita politikkan soal kepentingan rakyat, soal pendidikan tidak kita politikkkan, soal turunkan kadar jenayah tidak kita politikkan, soal meningkatkan pendapatan rakyat tidak kita politikkan, yang mempolitikkan semua itu ialah pembangkang,” ujarnya lagi.

Beliau berkata sekolah bukanlah tempat untuk berkempen serta menegaskan pilihan raya umum juga masih lama lagi.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan berita gembira untuk warga SK Sijangkang iaitu bantuan RM500,000 bagi keperluan sekolah itu dan bantuan bagi membina bilik darjah tambahan.

Guru Besar SK Sijangkang Tomiran Kasimon dalam ucapannya memberitahu bahawa sekolah itu mempunyai 1,418 murid yang ditempatkan dalam 38 kelas dan sepatutnya memerlukan 41 bilik darjah bagi menampung jumlah bilangan pelajar.

Dalam perkembangan yang berkaitan, sebagai tanda komitmen kerajaan persekutuan terhadap pendidikan agama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, hari ini menyampaikan geran bantuan berjumlah RM3.22 juta kepada 23 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada satu majlis di sini, dengan setiap SABK menerima sebanyak RM140,000.

Pada majlis perjumpaan bersama wakil-wakil sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) seluruh Selangor di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Sungai Manggis di sini sempena lawatan seharinya ke Selangor, beliau turut mengumumkan bantuan pengurusan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) seluruh negara berjumlah RM4.998 juta.

Daripada jumlah itu, RM1.4 juta diperuntukkan untuk SAR dan KAFA di Selangor, katanya. -MediaUMNO

Ahad, 27 Mac 2011

Senarai masih dalam tapisan

MUKAH 27 Mac – Senarai nama calon Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat atau Sabtu ini untuk dimuktamadkan.

Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kini senarai berkenaan masih berada dalam proses tapisan.

Sehubungan itu katanya, senarai penuh calon itu hanya akan diumumkan selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri.

“Senarai memang sudah ada, bagaimanapun belum diputuskan tetapi saya telah mengenal pasti calon bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sama ada yang akan dikekalkan atau digugurkan, tetapi yang pasti akan ada muka baru.

“Bagi parti-parti komponen yang lain pula, saya belum mendapat senarai semua calon daripada mereka tetapi apa yang pasti menjelang 1 April, senarai lengkap itu akan saya peroleh,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan PBB Balingian di Bandar Baharu, di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Taib meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kedudukan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Larry Sng Wei Shien yang kini tidak ada parti selepas disingkirkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang merupakan komponen BN.

Katanya, semua pihak perlu menghormati perundingan yang dilakukan oleh pihak berkaitan kerana ia masih berjalan.

‘‘Jika saya memberi komen sekarang, bukankah ia akan mengganggu perundingan pihak-pihak terbabit?. Kita tunggu, pasti ada hasil perundingan mereka nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Taib menegaskan, beliau mempunyai cara dan pendekatan sendiri dalam menangani sesuatu isu melibatkan BN Sarawak tanpa perlu campur tangan pihak luar.

“Pada saya, setiap permasalahan ada penyelesaian dan sebarang percanggahan perlu diselesaikan secara muafakat,” katanya.

Pilihan Raya Bukan Tempat Untuk Buat Ujian – Ketua Puteri UMNO

SABUYAU (SARAWAK), 27 Mac – Penduduk Sarawak tidak seharusnya menjadikan pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini, sebagai tempat membuat uji kaji dengan memberi peluang kepada pembangkang untuk memenangi sesuatu kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya tersebut, kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata jangan mempertaruhkan masa depan negeri Sarawak hanya semata-mata mahu mencuba sesuatu yang baru dalam politik pembangkang yang sebenarnya telah terbukti gagal untuk membawa apa-apa perubahan kepada rakyat.

“Pilihan raya bukan tempat mahu buat ujian, ujian…saya sebagai anak Sabah telah merasai bagaimana peritnya 10 tahun berada di bawah pemerintahan pembangkang, kesannya amat perit sekali iaitu Sabah yang suatu ketika antara negeri termaju selepas itu jatuh,” katanya ketika berucap pada majlis pemimpin
bersama rakyat di sini hari ini.

Katanya kesan daripada sesuatu uji kaji melalui penukaran kerajaan yang memerintah bukan dirasai hari ini, sebaliknya ia akan memberi kesan kepada generasi akan datang.

Menurutnya kerajaan yang sedia ada di bawah Barisan Nasional (BN) telah terbukti banyak membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat serta negeri Sarawak dan ia seharusnya dipertahankan pada pilihan raya negeri nanti.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata pembangkang tidak ada pengalaman dalam mentadbir kerajaan dan kesannya kini sudah boleh dilihat di Selangor sebagai contoh apabila Yayasan Selangor yang sebelum ini mempunyai dana sebanyak RM67 juta, selepas empat tahun memerintah menghadapi masalah defisit sebanyak RM7 juta.

“Jangan permain masa depan anak-anak kita, hanya kerana marah seekor nyamuk, kelambu habis dibakar,” katanya.

Dalam pada itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata pembangkang hanya datang lima tahun sekali iaitu ketika musim pilihan raya dan mereka tidak faham malah langsung tidak mengetahui apa masalah rakyat di peringkat bawahan sebaliknya apa
yang mereka tahu hanyalah mengkritik kerajaan sahaja.

“Jangan nak tahu masalah rakyat, jalan mana yang perlu mereka pakai untuk ke kampung (Lingga) pun mereka tidak tahu, orang macam inikah yang kita mahu pilih jadi pemimpin,” katanya.

Sarawak yang mempunyai 71 kerusi DUN akan mengadakan pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini manakala pencalonan pada 6 April.

GTP Lakar Banyak Kejayaan Pertama, Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat – Najib

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diterajui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) melakar banyak kejayaan pertama yang belum pernah diraih selain telah meningkatkan taraf kehidupaan jutaan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata setelah berlalunya tempoh setahun pelaksanaan GTP, kerajaan telah meneroka ufuk yang baharu dan kini berada di ambang kejayaan yang lebih besar lagi.

“Bagaimanapun, kita juga menyedari bahawa kemenangan belum dapat diisytiharkan selagi matlamat kita untuk menjadi sebuah negara maju masih belum tercapai,” katanya dalam perutusan perdana di dalam Laporan Tahunan GTP 2010 yang diterbitkan JPM.

Justeru, Najib berkata kerajaan akan terus berusaha dengan menetapkan sasaran yang lebih tinggi untuk bergerak maju ke hadapan.

Beliau berkata GTP telah memperlihatkan kejayaan yang ketara dalam semua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan apa yang penting dalam pencapaian tahun pertama GTP ini ialah ia telah membawa bersama-sama dengannya angin perubahan yang telah melanda keseluruhan jentera kerajaan.

“Ia telah menyalakan minat dan kesungguhan yang baharu dalam kalangan kakitangan awam serta memberikan cabaran kepada mereka yang lain untuk merealisasikan potensi penuh mereka dan melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.

Najib berkata kebanyakan sasaran yang ditetapkan di bawah GTP adalah besar dan ia dibentuk melalui proses usaha sama antara kumpulan cerdik pandai terbaik dalam sektor kerajaan dan swasta.

Beliau berkata dalam usaha memenuhi hasrat rakyat, terbukti bahawa kerajaan sentiasa beriltizam untuk melakukan yang terbaik bagi menyampaikan hasil yang positif.

“Kejayaan yang telah dicapai ini juga telah diakui oleh pihak ketiga yang terkenal dan bebas, termasuk pakar-pakar antarabangsa yang berwibawa daripada organisasi bereputasi baik.

“Pengesahan dan keyakinan yang diberikan oleh mereka mengukuhkan lagi usaha kita dalam tempoh setahun ini,” katanya.

Najib berkata meskipun GTP tidak sunyi daripada kesangsian dan kritikan segelintir pihak, namun rakyat sendiri yang lebih layak menghakimi prestasi dan kemajuan yang telah dicapai oleh kerajaan.

“Kita percaya bahawa dokumen Laporan Tahunan GTP yang pertama ini menjadi bukti yang menunjukkan betapa kerajaan Malaysia gigih berkhidmat untuk rakyat dan memacu usaha yang banyak bagi membawa perubahan kepada negara kita,” katanya.

Menurutnya sebagaimana yang dijanjikan, keseluruhan prestasi GTP dan NKRA untuk 2010 telah disiarkan untuk tatapan umum tanpa sebarang prasangka.

Bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan, beliau berkata, kerajaan berhasrat untuk berkongsi segala kisahnya dengan pihak berkepentingan sama ada ia berkaitan dengan kejayaan, kekurangan, rintangan mahupun pengajaran bermakna yang telah dipelajari sepanjang proses tersebut.

Najib berkata beliau yakin bahawa Pelan Hala Tuju GTP, NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berasaskan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) untuk memacu pertumbuhan ekonomi pada hakikatnya, telah berada pada landasan terbaik untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020.

“Tidak dinafikan bahawa perjalanan pada masa hadapan akan lebih mencabar, malah mungkin mengatasi cabaran yang telah dihadapi pada tahun lalu, namun kita mampu, malah bersedia dan berkesanggupan untuk memikul tugas menjuarai usaha membawa hasil yang ketara lagi bermakna kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata GTP akan terus mengenal pasti dengan jitu masalah sebenar dan menyampaikan penyelesaian yang ketara yang bertujuan mentransformasikan negara yang tercinta ini dan memberikan impak kepada rakyat tanpa mengira siapa, apa dan di mana jua mereka berada.

“Dalam kita mengorak langkah yang gagah ke hadapan bersama-sama sebagai negara yang bersatu, saya ingin memberikan kepastian di sini bahawa tiada seorang pun warga Malaysia yang akan diabaikan atau dibiarkan ketinggalan,” katanya.

Laporan tahunan pertama GTP itu membuat penilaian terhadap semua yang berlaku pada Tahun 1-Fasa 1 (2010-2012) GTP yang menonjolkan banyak kejayaan dicapai selain juga kelemahan yang ada, pengajaran penting yang telah dipelajari dan langkah seterusnya yang perlu diambil untuk mencapai Wawasan 2020.

Program Turun Padang PM Ke Muar, Kluang Terima Sokongan Luar Biasa Rakyat

MUAR, 26 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dalam lawatan kerja ke bandar ini, hari ini mengadakan kunjungan mesra bertemu rakyat khususnya peniaga di pusat bandar Muar.

Perdana Menteri dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tiba pada jam 9.35 pagi, untuk beramah mesra dengan rakyat di bandar Maharani.

Turut serta Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Jamilah Ariffin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam dan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Sejurus tiba di Jalan Meriam dan Jalan Sayang, Perdana Menteri dan rombongan disambut mesra oleh rata-rata peniaga yang tidak putus-putus menghulurkan salam kepada beliau dan isteri.

Najib turut melihat carta proses bagi mengatasi banjir kilat serta menaik taraf sistem perparitan dalam kawasan bandar Muar.

Dalam kunjungan mesra itu, Perdana Menteri turut berkunjung ke gerai perniagaan dan pinggir bandar di Jalan Sisi dan Jalan Abdullah sebelum melawat pondok kawalan polis yang disediakan di situ.

Cuaca panas membuatkan Perdana Menteri dan rombongannya tidak melepaskan peluang untuk menikmati cendol di sebuah gerai berdekatan sebelum beredar ke Pasar Awam Maharani dan Terminal Bas dan Perhentian Teksi Bentayan, untuk berjumpa peniaga di kawasan berkenaan.

Bagi peniaga cendol, Shamsu Bibi Hassan, 55, kunjungan Perdana Menteri dan rombongan ke gerai cendol miliknya adalah sesuatu yang tidak diduga.

“Siapa sangka Perdana Menteri dan isteri sanggup mencuba cendol di sini. Terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri. Saya sangat gembira hari ini,” katanya yang berniaga di gerai berkenaan bersama suaminya Abdul Nasir Miras, sejak 30 tahun lalu.

Seorang pekerja kedai cat yang hanya mahu dikenali sebagai Bala, 56, berkata, kunjungan Perdana Menteri di kawasan pusat bandar diharap membawa kebaikan terutamanya bagi menyelesaikan isu perparitan.

“Ini pertama kali saya lihat Datuk Seri Najib dari dekat. Mengenai masalah longkang, memang ada bau busuk, kita harap ianya dapat diatasi,” katanya yang bekerja di kedai tersebut sejak lima tahun lalu.

Bagi seorang wanita, yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 36, kunjungan Perdana Menteri ke Muar adalah satu peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk melihat pemimpin nombor satu negara dengan lebih dekat.

Lim yang tinggal di Jalan Haji Jaib di sini berkata, beliau bersama suami yang mahu dikenali sebagai Soo, 40 dan dua anak perempuan mereka Soo Jia Ling, 8 dan Soo Jia Yi, 3, sanggup ke menunggu ketibaan Perdana Menteri sejak jam 8 pagi.

“Kita jarang dapat peluang macam ini. Anak-anak saya pun sangat gembira dapat bersalam dengan Perdana Menteri, isteri dan beberapa orang kenamaan lain,” katanya.

Sementara itu, ketika menghadiri Majlis Jamuan Rakyat di Bandar Kluang, Najib melahirkan rasa terharu dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat apabila seramai 10,000 orang menghadirinya, melebihi jangkaan awal seramai 6,000.

Beliau percaya jika pemimpin menghambakan diri kepada rakyat dan mempunyai sikap merendah diri, sokongan kepada Barisan Nasional akan bertambah mantap.

Dalam ucapannya juga beliau berkata walaupun jadual turun padang ke Muar dan Kluang adalah padat namun beliau mendapat tenaga setelah melihat sokongan rakyat yang diberikan pada setiap program yang dihadirinya.

Malah lebih membanggakan beliau sokongan itu datang dari rakyat pelbagai golongan lapisan masyarakat sehingga ada seorang wanita Cina yang berusia 75 tahun menghadiahkannya sehelai bendera Malaysia yang disimpan sejak 51 tahun lalu.

Turut hadir pada jamuan itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin serta exco kerajaan negeri.

Terap “Strategi Lautan Biru” Capai Objektif NKRA – Najib

KLUANG, 26 Mac – Perdana Menteri mahukan pemikiran “Strategi Lautan Biru” diterapkan dengan lebih meluas bagi mencapai objektif di dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerjasama di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan yang dilancarkan hari ini sebagai contoh pemikiran terbabit.

“Menerusi penerapan pemikiran ‘Strategi Lautan Biru’, agensi kerajaan dapat mencapai objektif-objektif di dalam NKRA dengan kos yang minimum,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota di sini, hari ini.

Menurut beliau, pemikiran “Strategi Lautan Biru” itu melibatkan pemikiran di luar kebiasaan dengan mengaplikasikan cara-cara yang kreatif dan inovatif, tetapi dalam masa yang sama dengan kos yang minimum.

Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota, di sini yang dilancarkan hari ini melibatkan sekumpulan penempatan banduan di dalam kawasan kem tentera dengan kawalan keselamatan yang minimum.

Jumaat, 25 Mac 2011

Perjuangan UMNO dalam memartabatkan agama

Posted by: Samuel San in Politics
Secara mudahnya, perjuangan UMNO disimpulkan sebagai perjuangan memartabat agama, bangsa dan negara. Dalam perjuangan UMNO, Islam tidak pernah sekali-kali dipinggirkan malah diletakkan sebagai perkara pertama. Cuma berbeza dengan tafsiran dan pendekatan ektremis, UMNO tidak obses untuk melaksanakan hudud dan mengkafirkan pemerintah yang tidak melaksanakannya, sebaliknya UMNO mengambil pendekatan yang lebih praktikal, sederhana dan pertengahan, iaitu dengan memberi keutamaan ke atas perkara-perkara yang lebih utama.

Disebabkan itu, dalam perjuangan memerdekakan negara, UMNO telah memastikan agar kedudukan dan keistimewaan Islam ditentukan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kemudiannya telah diperincikan lagi dalam bentuk dasar-dasar dan dilaksanakan dalam pelbagai bidang sesuai dengan pengertian Islam sebagai ad-din, iaitu suatu cara hidup yang lengkap.
Dari segi sejarah, UMNO mempunyai track record yang jauh lebih baik daripada sebuah parti pembangkang yang menggunakan label parti Islam di dalam menegakkan hukum-hukum Islam dalam pelbagai aspek. Ini sesuai dengan tuntutan tanggung jawab kekhalifahan yang diletakkan di atas bahu setiap umat Islam, iaitu untuk memakmurkan dunia dan memlihara agama. Hukum-hukum Allah swt ini telah ditegakkan dengan sebaik mungkin di dalam lima bidang utama, iaitu dlm bidang aqidah, ibadah, munakahat, muamalat dan jenayah.
Usaha memastikan hukum aqidah terlaksana, iaitu agar umat Islam di Malaysia mempunyai aqidah yang jelas dimulakan melalui pendidikan. Bezakan orang Melayu dahulu dgn orang Melayu sekarang. Sewaktu zaman P. Ramlee membuat filem, digambarkan terdapat orang Melayu yang memuja mambang untuk menuntut ilmu persilatan. Hari ini bab pendidikan Islam dimasukkan dalam pendidikan formal dan tidak formal, bermula di peringkat tadika, prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah - sekolah menengah biasa, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat, di kolej-kolej, Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) sehingga ke peringkat sarjana dan kedoktoran. Tidak cukup menghantar anak-anak Melayu di IPT dalam negara, mereka juga diajar untuk mendalami pelbagai aspek ilmu agama di luar negara.

Dengan kedudukan dan keistimewaan Islam yang ditentukan dengan jelas dalam perlembagaan, pemimpin UMNO yg terdahulu telah mengembangkannya dalam bidang-bidang hukum yang lain, misalnya ibadah. Melalui pendidikan kita belajar setiap syarat dan rukun agar ibadah kita dilakukan secara betul. Selain diajar untuk beribadah secara betul, kita juga diberikan infrastruktur dan keyakinan untuk beribadah dengan selesa melalui pembinaan begitu banyak masjid dan surau. Masjid ini dibantu pula dari aspek penyelenggaraan, utiliti dan elaun imam dan pentadbiran.
Di kawasan tertentu disyaratkan pula pembinaan surau dan masjid taman dan blok perumahan. Manakala majikan juga dikehendaki memberi ruang kepada umat islam untuk menunaikan solat Jumaat. Selain dari aspek peraturan dan pentadbiran, begitu banyak aktiviti dan program juga dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan syiar Islam ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Dalam bidang hukum munakahat pula, kita mempunyai Enakmen Keluarga Islam dan Institusi Mahkamah Syariah yang diiktiraf sebagai di antara yang terbaik di dunia. Biarpun ada kelemahan di sana sini termasuk dari aspek perbezaan pelaksanaan di negeri-negeri, namun ia adalah sangat tersusun dan jauh lebih sistematik berbanding negara-negara lain.

Dalam bidang hukum muamalat; melalui pendidikan, begitu ramai bijak pandai dalam pendidikan Islam dan pelbagai bidang ilmu lain yang telah kita lahirkan. Dalam kalangan mereka ini, bukan sahaja pakar ilmu Bahasa Arab, al-Quran dan Hadis, Feqah dan Usuluddin sahaja, tetapi juga mereka yg mampu menjadi pakar-pakar yg boleh menterjemahkan dasar hukum Islam ke dalam instrumen kewangan (bermula dgn perbankan, takaful, unit amanah, pajak gadai, sukuk dan sebagainya), yang telah dimulakan di zaman mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dan sekarang sudah menguasai nilai pasaran yang besar dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
Dalam bidang hukum jenayah pula yang terbahagi kpd tiga kategori, iaitu pertama, takzir, kedua - qisas dan ketiga hudud. Setidak-tidaknya kita telah melaksanakan dalam bentuk undang-undang takzir, yang dari secara asasnya melindungi hak-hak individu dan pada waktu yang sama turut memberi keutamaan kepada hak masyarakat terbanyak dan berusaha memelihara masalahat ummah dalam banyak keadaan.

Semuanya bermula dengan kedudukan Islam itu diperuntukkan dengan jelas di dalam perlembagaan; yang secara jelasnya menolak kesimpulan negara ini adalah sebuah negara sekular dan yang selebihnya berkembang dari situ berdasarkan kesungguhan dan kebijaksanaan politik semasa bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang agama dan bangsa tidak terjejas dan negara terjerumus ke dalam fitnah yang berterusan.
Sesungguhnya berdasarkan track record yang ada, UMNO adalah jauh lebih berjasa di dalam memenuhi tuntutan kekhalifahan, iaitu memakmurkan dunia dan memelihara agama, berbanding parti yang berjenama Islam; yang terlalu obses untuk melaksanakan hudud (yang menurut mereka sendiri hanya merupakan 0.0001 peratus sahaja daripada keluasan hukum Allah swt) tetapi gagal melaksanakan banyak perkara termasuklah membina sebuah masjid.

Pemuda BN sedia biasiswa RM16.5 juta

KUALA LUMPUR 25 Mac – Biasiswa Pendidikan Pemuda Barisan Nasional (BN) (YES) yang dilancarkan hari ini menerima sumbangan RM16.5 juta daripada 12 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, YES akan memberi peluang kepada lebih 200 pelajar cemerlang yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan kurang upaya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi pada tahun ini.

Katanya, Pemuda BN akan menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai ahli akademik untuk menilai dan mempertimbangkan permohonan yang dibuka kepada semua pelajar di seluruh negara.

“Mereka yang berminat boleh membuat permohonan itu secara dalam talian di laman web www.bnyes.com.my bermula minggu depan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Karnival Kerjaya BN (BNYJF) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy memberitahu, kira-kira 500,000 pencari kerja dijangka membanjiri Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sepanjang berlangsungnya BNYJF selama tiga hari bermula hari ini.

Ujarnya, BNYJF kali ini akan menawarkan 40,000 peluang pekerjaan daripada kira-kira 650 syarikat terdiri daripada syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat swasta dan agensi kerajaan.

UMNO Tak Terlibat Rakaman Video – Najib


KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak membidas mana-mana pihak yang membuat tuduhan terhadap UMNO berkaitan isu rakaman video yang dikatakan melibatkan pemimpin pakatan pembangkang.

Katanya, UMNO langsung tidak terlibat dalam hal terbabit malahan turut ingin tahu kebenaran dan kesahihan membabitkan perkara tersebut.

“Soalnya kenapa UMNO yang mahu dipersalahkan sedangkan perkara sebenarnya ialah adakah perkara tersebut (rakaman video) itu benar atau tidak dan jangan pula bangkitkan persoalan berkaitan konspirasi dan lain-lain?”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, PWTC, di sini.

Jelasnya lagi, sekiranya rakaman terbabit adalah sahih maka tentunya satu perbuatan kemungkaran telah berlaku, dan kerana itu pihak berkuasa perlu melaksanakan tugas dengan profesional dan telus bagi membuktikan kebenarannya.

“Soal keperluan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat hal tersebut adalah terpulang kepada keputusan kerajaan dan pihak polis perlu tunjukkan bukti yang sahih kalau ada perbuatan yang mengubah video tersebut secara teknikal kerana perkara seperti ini amat mudah dikesan,” katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri telah memaklumkan berkaitan perkembangan pengurusan dalam parti dengan keahlian terkini UMNO ialah 3,233,586 orang.

Dalam masa yang sama, beliau turut memberitahu bahawa anggota MT telah bersetuju untuk mengadakan majlis sambutan ulang tahun penubuhan UMNO pada tarikh penubuhannya iaitu 11 Mei depan.

“Majlis ini diadakan seperti biasa dengan dimulakan solat maghrib, bacaan surah yassin, tahlil dan solat isyak seterusnya diikuti oleh majlis makan malam dan upacara menaikkan bendera UMNO,” katanya.

Turut disebut, MT terima rayuan pelepasan hukuman bekas ketua Pemuda UMNO Sabah Datuk Japlin Akim dan memutuskan bahawa beliau dilepaskan daripada hukuman pergantungan serta kembali hak sepenuhnya sebagai ahli UMNO. – MediaUMNO

Karnival Kerjaya Pemuda BN Bukti Model Baru Politik BN Selesai Masalah Rakyat

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata model baru politik Barisan Nasional (BN) bukan sahaja memahami permasalahan rakyat tetapi menjurus ke arah menyelesaikanya dengan mengambil tindakan yang berkesan.

Mengambil contoh apa yang diusahakan oleh Pemuda BN menerusi Karnival Kerjaya 2011 yang terbesar pernah diadakan di negara ini, Najib seterusnya menambah, ianya menunjukkan permasalahan golongan muda dalam soal pekerjaan telah diambil kira.

“Sebab itu saya nasihatkan kepada Pemuda sebelum ini agar mengadakan makmalnya dan daripada itu kita dapat cungkil segala permasalahan oleh generasi muda. Setelah mengenalpasti dalam soal ekonomi dan perkara lain, kita mencari jalan penyelesainnya.

“Inilah yang saya maksudkan sebahagian daripada model baru politik. Ya, ini kita tahu masalah rakyat, kita ambil tindakan untuk selesaikan masalah rakyat. Kita cari jalan penyelesaian kreatif dan kita tidak tunggu rakyat datang kepada kita tetapi kita pergi kepada rakyat.

“Ini berbeza dengan pendekatan lama di mana tumpuan lebih diberi kepada soal intra politik seperti urusan cawangan dan bahagian serta membuat desakan kepada kerajaan bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan rakyat.

“Inilah konsep kita. Semoga BN akan terus menjadi parti pilihan rakyat Malaysia,” katanya berucap melancarkan “BN Youth Job Fair 2011″ di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S.Subramaniam, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pimpinan BN pelbagai peringkat yang lain.

Najib yang juga Pengerusi BN seterusnya menyatakan bahawa kejayaan Karnival Kerjaya Pemuda BN yang menawarkan 40,000 peluang pekerjaan memberi satu mesej yang jelas.

“Maknanya ekonomi negara berkembang…..kalau tidak berkembang bagaimana peluang pekerjaan boleh mengjangkau 40,000 ditawarkan kepada anak muda seluruh negara. Ini bukan berlaku dengan sendiri tetapi kita beri keyakinan kepada sektor swasta, GLC dan sebagainya untuk buat pelaburan dan sebagainya.

“Jika ekonomi berada dalam sebaliknya, apakah Job Fair seumpama ini mampu menawarkan peluang sedemikian rupa dan mencapai kejayaan sepertimana hari ini,“ katanya .

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata jika BN tidak faham dan tidak dapat merasai denyutan hati rakyat, maka parti itu tidak mungkin dapat mencari penyelesaian tepat menangani permasalahan yang dilalui rakyat.

Katanya pada hemat beliau, transformasi politik akan menyokong apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan dalam soal transformasi ekonomi melalui Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

Katanya transformasi politik bersandar pada model baru politik yang menuntut BN supaya lebih memahami persekitaran yang wujud pada hari ini iaitu perubahan struktural yang sedang berlaku dalam masyarakat.

“Kita menghadapi satu cabaran amat besar bagaimana memprojekkan (menonjolkan) BN sebagai parti yang tetap relevan kepada setiap zaman dan ketika…segar dan dinamik dan mampu berubah meskipun terus berkuasa. Tetapi tema perubahan itu tidak (harus) dilakukan oleh pihak lain tetapi obor ini dibawa oleh parti kita, BN,” katanya.

Menurut beliau, BN sebagai sebuah parti politik, tidak boleh berada dalam keadaan terlalu selesa dengan apa yang telah dilakukan dan dicapai selama ini.

“Kita sedia bawa perubahan kepada negara ini menerusi BN,” katanya. -MediaUMNO

Buku Jingga janji saudagar mimpi: Pelan transformasi bertepatan

Pendekatan Perdana Menteri berinteraksi dengan rakyat sesuai peredaran masa

KUALA LUMPUR: Pelan transformasi dan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan adalah bertepatan dengan peredaran masa, terutama apabila kepentingan rakyat paling utama dalam membuat sebarang keputusan seiring slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, berkata dalam situasi sekarang di mana rakyat lebih bermaklumat terutama golongan muda, pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berinteraksi dengan rakyat wajar dipuji.

“Pada zaman ini, rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dan langkah mendapatkan pandangan rakyat berkaitan pelbagai isu dan perancangan kerajaan adalah sesuatu perubahan yang baik.
“Bagaimanapun, masih banyak yang boleh diperbaiki dan reformasi dalam sistem penyampaian awam itu masih boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, tetapi pada dasarnya, kita berada di landasan yang betul,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, pihak pembangkang melancarkan Buku Jingga yang dibahagi kepada dua kategori iaitu 10 janji yang akan dilaksanakan dalam 100 hari jika pembangkang menjadi kerajaan persekutuan dan 39 janji di bawah tajuk ‘Dasar Bersama’.

Ismail berkata, penubuhan pelbagai suruhanjaya dan badan pemantauan berkaitan isu dan institusi kerajaan tertentu termasuk Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU) turut membawa perubahan positif terhadap sistem penyampaian awam.

Selain PEMANDU, reformasi yang dilaksanakan termasuk penubuhan Suruhanjaya Diraja Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah.
Ismail percaya tentunya Perdana Menteri sendiri masih tidak berpuas hati dengan pencapaian ketika ini dan tentunya antara usaha perlu diberi fokus adalah untuk mengubah tahap pemikiran kakitangan sektor awam.

“Setiap rakyat perlu yakin dengan keupayaan diri masing-masing, barulah ia seiring dengan pelan komprehensif dan konsultatif kerajaan,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, adalah sukar untuk pihak pembangkang untuk menghasilkan sesuatu perubahan dalam tempoh masa 100 hari seperti yang dijanjikan menerusi buku berkenaan kerana kerajaan sedia ada sudah lebih 50 tahun berkhidmat kepada rakyat secara konsisten.

Beliau juga menganggap janji pihak pembangkang itu sebagai tidak realistik kerana mana mungkin melakukan perubahan drastik dalam masa 100 hari sedangkan pindaan undang-undang terutama memerlukan kelulusan pada peringkat Parlimen.

Tak Perlu Tukar Kerajaan Hanya Kerana ‘Gula-gula’ Buku Jingga

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Penganalisis politik tanah air, Prof Dr Shamsul Adabi Mamat melihat tindakan pakatan pembangkang yang mengutarakan buku jingga sebagai satu alat untuk dijadikan gula-gula politik bagi mendapatkan sokongan untuk menukar pentadbiran negara.

Katanya, jika diamati secara keseluruhan kandungan buku tersebut hanyalah satu cubaan transformissional pakatan pembangkang untuk cuba mengubah status quo kerajaan sedia ada.

“Dalam bahagian pertama, buku ini menyebut tentang perubahan yang dilihat dari sudut politik ialah daripada Barisan Nasional kepada pakatan pembangkang sedangkan jika difikirkan secara wajar, alasan-alasan yang diutarakan dan fakta yang diberikan dalam buku tersebut hanyalah bersifat marginal sahaja,” katanya.

Terangnya lagi, buku jingga yang diperkenalkan oleh PKR pada satu konvensyennya tahun lepas dianalisis melalui pembahagian kepada lima perkara iaitu perubahan pentadbiran, kononnya negara dalam keadaan krisis, keadilan sosial, program 100 hari dan juga hak agama Islam serta orang-orang Melayu.

“Mereka menyebut bahawa negara sekarang sedang berdepan dengan krisis misalnya dalam sudut ekonomi, institusi pentadbiran negara, ketegangan kaum, pendidikan dan lain-lain lagi sedangkan apa yang digambarkan oleh mereka bukanlah memperlihatkan keadaan yang sebenar.

“Kita lihat ekonomi negara terus berkembang biarpun berlaku kenaikan bagi sesetengah barangan keperluan yang tentunya ekoran daripada kenaikan harga pasaran dunia tetapi secara keseluruhannya kerajaan masih mampu mengawal selain memberikan subsidi ke atas barang-barang terbabit.”

Jelasnya lagi, pakatan pembangkang sengaja melihat kepada kepincangan yang terlalu kecil untuk dijadikan modal dan diperbesar-besarkan kononnya rakyat secara keseluruhannya menanggung beban ekoran daripada kerajaan yang zalim.

“Jika mereka bercakap soal bebanan rakyat, maka bebanan yang bagaimana sedangkan rakyat negara ini secara keseluruhannya masih mampu bebelanja dengan baik meliputi barang keperluan dan memenuhi sesetengah kehendak.

“Mereka mengutarakan kononnya berlaku ketegangan kaum sedangkan realitinya, berdasarkan kepada konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kita dapat melihat hubungan antara kaum semakin akrab dan tidak ada sebarang pergolakan berlaku,” tegasnya.

Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menegaskan juga bahawa keadilan sosial yang dikemukakan oleh pakatan pembangkang hanyalah gambaran mereka sebagai cubaan untuk mengaburi rakyat agar menolak BN sebagai kerajaan.

“Memang tidak dinafikan wujud kekurangan tetapi ia terlalu kecil jika dibandingkan dengan apa yang kita telah bina selama ini. Untuk apa kita mahu musnahkan sebuah kerajaan yang telah mantap sedangkan kita mempunyai peluang untuk membuat penambahbaikan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pakatan pembangkang ini cuba mewujudkan jurang antara masyarakat dalam cubaan mereka untuk meruntuhkan kerajaan BN.

“Mereka menjanjikan kuasa autonomi kepada Sabah dan Sarawak sekiranya berkuasa dengan gambaran seolah-olah kerajaan pusat mengawal sepenuhnya negeri-negeri terbabit.

“Lebih bahaya lagi untuk jangka masa panjang ia akan mewujudkan hubungan yang negatif antara Semenanjung dengan dua negeri di Malaysia Timur tersebut.”

Selain itu, program 100 hari yang diuwar-uwarkan oleh pembangkang juga adalah sesuatu yang sangat tidak munasabah untuk diaplikasikan.

“Dalam hal ini mereka menyebut berkaitan SPR, SPRM, PDRM dan macam-macam lagi seolah-olah badan-badan tersebut tidak berwibawa sedangkan tahap profesionalisme mereka sangat tinggi dan telah diuji dengan bermacam-macam insiden.

“Janji-janji mereka hanya sedap didengar sedangkan realitinya ia akan gagal untuk dilaksana sebagaimana manifesto mereka dalam PRU 2008 apabila diberi mandat mentadbir tapi kemudiannya gagal melaksanakan apa yang telah diperkatakan.”

Tambahnya lagi, inikan pula kononnya pakatan pembangkang mahu mengutamakan agama Islam dan hak orang Melayu sedangkan melalui kerajaan BN semua perkara tersebut telah pun dimetrai melalui Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat perlu berfikir dengan matang dan jangan terpengaruh semata-mata gula-gula sedemikian oleh pakatan pembangkang,” katanya. - MediaUMNO

Khamis, 24 Mac 2011

Senarai calon akan dikemukakan kepada PM bulan depan

24/03/2011 6:07pm

KUCHING 24 Mac - Senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk disahkan awal bulan depan.

Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, senarai calon sedang dalam proses untuk dimuktamadkan.

"Saya mempunyai temu janji dengan Perdana Menteri (Pengerusi BN) pada awal bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perdagangan Bangunan Keenam 2011 (BTS 2011), di sini, hari ini.

Ditanya mengenai peluang BN dalam menghadapi pakatan pembangkang yang dikatakan lebih bersedia, Taib, yang juga Ketua Menteri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata: “Saya serahkan kepada Allah tetapi akan bersyukur sekiranya BN boleh memperoleh majoriti lebih dua pertiga. - Bernama

Senarai calon akan dikemukakan kepada PM bulan depan

24/03/2011 6:07pm

KUCHING 24 Mac - Senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk disahkan awal bulan depan.

Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, senarai calon sedang dalam proses untuk dimuktamadkan.

"Saya mempunyai temu janji dengan Perdana Menteri (Pengerusi BN) pada awal bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perdagangan Bangunan Keenam 2011 (BTS 2011), di sini, hari ini.

Ditanya mengenai peluang BN dalam menghadapi pakatan pembangkang yang dikatakan lebih bersedia, Taib, yang juga Ketua Menteri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata: “Saya serahkan kepada Allah tetapi akan bersyukur sekiranya BN boleh memperoleh majoriti lebih dua pertiga. - Bernama

Manifesto BN Sarawak diumumkan selepas penamaan calon

24/03/2011 6:05pm

KUCHING 24 Mac - Manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi pilihan raya negeri ke-10 adalah ”ringkas dan mudah” dan akan diumumkan kepada orang ramai selepas penamaan calon, kata Pengerusi BN negeri dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Saya baru saja meneliti draf akhir. Ia OK, sangat ringkas dan mudah,” katanya selepas merasmikan Pameran Bangunan Perdagangan anjuran Institut Arkitek Malaysia Bahagian Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini.

Taib, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, kandungan manifesto itu dipermudahkan untuk membolehkan anggota BN memahami dan mengaitkannya dengan kawasan pilihan raya masing-masing. - Bernama

Rabu, 23 Mac 2011

Perkukuhkan jentera BN – Taib

KUCHING 23 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengingatkan jentera parti itu supaya tidak terlalu bergantung pada kelemahan pembangkang untuk melakar kemenangan yang lebih besar dalam pilihan raya negeri akan datang.

Sebaliknya, tegas beliau, jentera parti mesti terus diperkukuhkan dan bukannya hilang fokus berikutan beberapa perkembangan terbaru politik tempatan dan kebangsaan.

“Ingin saya tegaskan kepada jentera BN, kita jangan terlalu bergantung pada kelemahan pembangkang tetapi kita perlu melihat kekuatan BN sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Jabatan dan Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia Ke-85 di sini, hari ini.

Beliau mengulas kemelut Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai pembahagian kerusi yang ditandingi, selain isu tayangan video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin parti pembangkang.

SPR Umum 16 April Mengundi, 6 April Hari Penamaan Calon Pilihanraya Sarawak

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini umumkan 6 April 2011 sebagai hari penamaan calon manakala 16 April 2011 sebagai hari mengundi bagi pilihanraya negeri Sarawak.

Selasa, 22 Mac 2011

Buku Jingga Bukan Untuk Rakyat Sarawak, Kata Hishammuddin

22 Mac, 2011 21:47 PM

PUTRAJAYA, 22 Mac (Bernama) -- Buku Jingga "karangan" pakatan pembangkang bukan untuk rakyat Sarawak kerana ia tidak sesuai dengan kehendak dan citarasa rakyat negeri itu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Untuk bawa ke Sarawak sudah agak terlewat di mana ia seperti tiada kaitan langsung," kata Menteri Dalam Negeri itu kepada media ketika ditanya penerimaan Buku Jingga itu di Sarawak.

"Kita di dalam kerajaan telah pun melihat kepada isu-isu yang dibangkitkan seperti hak milik tanah, pembangunan luar bandar juga keperluan asas elektrik dan air. Ini semua telah kita laksanakan dan bukan semata-mata janji," katanya.

Katanya Buku Jingga ini menunjukkan perbezaan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) di mana mereka melakukan sesuatu kerana mengambil kesempatan suasana pilihanraya.

Pakatan pembangkang mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan berbentuk jangka pendek dan jangka panjang dalam mentadbir negara sekiranya mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam pakatan itu dikeluarkan pada Disember lalu dan disebut sebagai rencana dasar serta kebijakan untuk membela rakyat berlandaskan empat kerangka.

-- BERNAMA



Skim Rumah Pertamaku (SRP) telah diumumkan dalam Bajet 2011 oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu golongan muda yang baru bekerja dan berpendapatan tidak lebih daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah pertama mereka.

Skim ini membolehkan golongan muda untuk mendapat pembiayaan sehingga 100% daripada bank-bank yang terlibat untuk membeli rumah pertama mereka. Ini sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia.


Tarikh pilihan raya Sarawak diumumkan esok - SPR

22/03/2011 5:14pm

KUCHING 22 Mac - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya negeri Sarawak selepas mesyuarat khas pada pukul 12 tengah hari esok.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof memberitahu hal itu pada sidang akhbar di sini petang ini. - Utusan

Kerajaan Guna Segala Kudrat Tunai Janji – PM

PUTRAJAYA, 22 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata apabila kerajaan mengaku untuk melaksanakan sesuatu, ia akan menunaikannya dengan menggunakan segala ikhtiar dan kudrat yang ada.


Malah, kata Perdana Menteri, sebelum berjanji lagi, kerajaan akan memastikan apa yang dinyatakan itu bersifat realistik, dalam kemampuan kerajaan yang wajar, bertanggungjawab dan mengambil kira semua aspek kesejahteraan rakyat serta kepentingan jangka panjang.

“Segala-galanya berlandaskan falsafah induk Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib berkata perbezaan antara parti yang bertanggungjawab dan yang tidak bertanggungjawab boleh dilihat melalui janji yang dibuat kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya.

Beliau berkata parti yang bertanggungjawab tidak akan semberono mengaku untuk berbuat apa-apapun yang tampak hanya bermanfaat dalam jangka pendek tetapi akan mendatangkan bencana kepada negara serta kesengsaraan kepada rakyat bukan sahaja dalam jangka panjang malah dalam masa terdekat pun boleh dirasa kesan buruknya.

“Pucuk pangkalnya, parti yang bertanggungjawab lebih rela tidak popular untuk jangka pendek daripada membangkrapkan negara dalam jangka panjang.

“Pastinya lagi, parti yang bertanggungjawab tidak sekali-kali akan membenarkan maruah negara dikompromi atau dipertaruhkan. Pendek kata, kerajaan ini tidak sanggup menyaksikan apa yang telah dibina dengan bertatih dan jerih payah selama ini lebur musnah begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata dokumen-dokumen janji pelbagai corak “sama ada biru laut, hijau gelap, putih dan terkini jingga yang disogokkan oleh pedagang-pedagang impian” semuanya itu tampaknya dihasil dan dikarang bersandar kepada keseronokan sementara sehingga kadang-kalanya membuatkan segelintir terpegun dan terpedaya kononnya “ada tempayan emas di kaki pelangi”.

Najib berkata kerajaan tidak mahu melihat negara terpaksa bergantung kepada ehsan institusi kewangan antarabangsa seperti nasib yang menimpa sesetengah negara menadah tangan meminta-minta pada satu masa nanti, hanya kerana ingin menjadi parti populis untuk seketika.

“Oleh itu, kita tidak akan membiarkan suatu hari kelak, Malaysia berubah status dari negara industri moden berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah ‘failed state’ atau gagal akibat daripada ketidakbertanggungjawaban fiskal dan ketidaktelitian kewangan,” katanya.

Sebab itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan antara lainnya melaksanakan dasar untuk merasionalisasikan subsidi kerana secara prinsipnya, kerajaan percaya subsidi penting bagi golongan dan sektor yang memerlukan.

“Namun, kita mesti faham bahawa sumber kerajaan adalah terhad manakala permintaan pula, sifatnya tidak berkesudahan.

“Justeru, untuk menjadi sesuatu faktor yang positif, subsidi mesti dioptimumkan dengan memberikannya kepada kumpulan dan sektor sasar yang benar-benar memanfaatkan rakyat dan negara.

“Maksudnya di sini, adalah tidak adil kepada mereka yang memerlukan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan, seandainya subsidi diberikan secara pukul rata tanpa mengira kemampuan,” katanya.

Najib berkata bagi memastikan disiplin fiskal terlaksana dengan berhemah, bukan sahaja perbelanjaan wajar dikawal malah sumber hasil juga harus ditingkatkan.

Beliau berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana pihak untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang bersifat populis tanpa menjelaskan kepada rakyat apakah kos sebenar serta apakah pula pelan dan rencana untuk membiayainya.

Katanya dengan hanya menyatakan bahawa ia akan dibiayai semata-mata daripada hasil penjimatan ketirisan bukanlah satu penjelasan yang telus dan sepatutnya kerana ia tidak menceritakan kedudukan sebenar dan tidak menjelaskan secara terang kepada rakyat tentang keperluan sebuah kerajaan yang baik untuk menambah hasil dan mengelak daripada dilanda sindrom “ketagihan” sumber asli.

Oleh itu, Najib berkata dalam membuat pilihan, berwaspada serta berhati-hati dan jangan mempertaruhkan masa depan anak-anak kepada “tangan mereka yang tidak bertanggungjawab”.

“Begitulah dalam kehidupan bernegara, kita berada pada satu titik di garisan yang amat penting. Di antara masa depan yang lebih cerah dengan kemakmuran atau masa depan yang kelam dan kekurangan.

“Ini bukanlah masa untuk mencuba-cuba, ini bukanlah masa untuk bereksperimen sebaliknya ini adalah masa untuk terus berpegang dan berpaut kuat dengan apa yang telah sedia terbukti dan teruji sejak sekian lama,” katanya.

Pakatan pembangkang telah memperkenalkan apa yang dipanggil sebagai “buku jingga” yang menjanjikan antara lainnya imbuhan bulanan RM500 kepada guru, menghapuskan tol dan menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

Isnin, 21 Mac 2011

PAMERAN KERJAYA PEMUDA BN 2011



Pameran Kerjaya Pemuda BN 2011 diadakan untuk menggurangkan kadar pengangguran di dalam negara serta memupuk kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan, seterusnya memberi ruang untuk golongan pencari kerja, diberikan kesempatan untuk bertemu secara langsung majikan-majikan yang berpotensi.

Program ini juga bertujuan untuk membantu individu mengenegahkan potensi penuh mereka sebagai warga negara yang produktif dan bertanggung jawab, serta peka terhadap saranan Kerajaan menangani masalah pengangguran. Pihak penganjur juga berharap dapat membantu memberi panduan kepada golongan remaja khususnya supaya menjadi pemangkin ekonomi negara di masa akan datang melalui pameran ini.

Layarilah : http://www.bnyouthjobfair.com/bm/

JOM Pemuda BN Curah Bakti Di Ibu Kota

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Selepas Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, program Jelajah One Malaysia (JOM) Pemuda BN yang telah memberi khidmat bakti kepada rakyat diteruskan lagi.

Kali ini, Wilayah Persekutuan pula menjadi lokasi khidmat bakti tersebut apabila Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin dan rombongannya yang lain bersama-sama memikul tugas membantu rumah penduduk setempat.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, kehadiran mereka bukanlah sekadar datang untuk memberi janji-janji palsu kepada penduduk sebaliknya membuktikan bahawa BN benar-benar ikhlas berkhidmat untuk rakyat.

“Kehadiran JOM Pemuda BN ini adalah untuk membuktikan bahawa melalui kepimpinan BN, janji-janji yang diketengahkan bukanlah omong-omong kosong sebaliknya dibuktikan dengan pelaksanaan seperti yang kita laksanakan hari ini.

“Kita tidak seperti pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya di kawasan Parlimen Segambut, Batu, Seputeh dan Bandar Tun Razak, yangt mana Ahli Parlimen mereka tidak pernah mengotakan janji pilihanraya sebaliknya hanya sibuk berpolitik hingga mengabaikan kebajikan dan permasalahan penduduk di kawasan yang mereka wakili,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membaik pulih rumah pada program JOM Pemuda BN Peringkat Parlimen Seputeh di Taman Salak Jaya, Ahad.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya berkata program JOM merupakan sebahagian program pergerakan itu untuk meneruskan tradisi BN membela rakyat.

“Khidmat bakti ini akan diteruskan lagi selepas ini dan pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa agar masyarakat di kawasan-kawasan seperti ini akan terus diberi perhatian dan pembelaan,” ujarnya.

Catatan : Tahniah Pemuda BN

Pemuda BN Kempen Bersepadu Di Sarawak


KUALA LUMPUR 21 Mac – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu akan menggunakan kaedah kempen bersepadu pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau kempen tersebut akan memberi tumpuan kepada kawasan yang berkemungkinan besar menawarkan calon muda serta kawasan yang bakal menyakiskan pertandingan sengit antara BN dan pihak lawan.

“Kita akan lancarkan jentera Pemuda BN Sarawak pada 2 April nanti dan selepas itu kita akan adakan beberapa siri program yang akan diketuai oleh saya dan kepimpinan BN yang lain di kawasan yang akan kemungkinan besar menawarkan calon muda daripada BN.

“Selain itu kita juga akan beri tumpuan terhadap kawasan yang kita anggap kawasan strategik iaitu kawasan yang bakal menyaksikan saingan sengit antara BN dan pembangkang. Jadi banyak program kita akan tertumpu pada kedua-dua kawasan-kawasan yang menepati dua kriteria tersebut.

“Jadi kita akan ambil pendekatan bersepadu antara pemimpin pusat yang akan membantu kempen yang akan diterajui oleh pemimpin Pemuda di Sarawak sebab mereka lebih arif dengan isu-isu negeri berkenaan terutamanya isu-isu tempatan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN di sini, hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah, kempen pergerakan itu juga akan meliputi media baru dalam usaha memastikan mesej yang hendak disampaikan dapat disalurkan secara menyeluruh.

“Pendekatan kempen kita juga akan meliputi media sosial terutama menggunakan facebook dan twiter untuk memastikan mesej kita sampai kepada genersi muda dan kita tidak hanya bergantung kepada kaedah kempen tradisi iaitu perjumpaan biasa.

“Insyaallah kita akan berkempen secara aktif menerusi online agar mesej kita dan juga apa sahaja yang kita jawab dapat kita buat dengan cepat dan pantas dan terus sampai kepada kumpulan sasar kita,” katanya.

Berhubung calon muda, Khairy memberitahu pihaknya telah dimaklumkan secara anggaran calon-calon muda sedang dalam pertimbangan pucuk pimpinan negeri dan kepimpinan BN pusat.

“Kita diberitahu anggaran….saya tidak perlu sebut di sini sebab itu maklumat yang kita perolehi secara dalaman tetapi boleh dikatakan bahawa kita akan lihat beberapa muka-muka daripada pimpinan Pemuda BN Sarawak.

“Antaranya ketua-ketua Pemuda daripada parti komponen, bukan semua, tetapi sebahagian sedang dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan negeri dan juga pucuk pimpinan BN pusat sebagai calon untuk pilihan raya negeri akan datang.

“Dan saya gembira sekiranya lebih ramai lagi dapat dipilih kerana kita nak yakinkan pengundi muda Sarawak bahawa BN adalah pilihan orang muda .Itu sebenarnya pendekatan kita dan “ tagline” kita BN pilihan orang muda di Sarawak,” katanya.


Muka baru, muda bakal barisi calon BN Sarawak?


21/03/2011 7:39pm

KUCHING 21 Mac - Barisan calon Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi pilihan raya negeri akan datang yang dijadual diumumkan sehari sebelum penamaan calon, bakal menyaksikan perubahan besar dalam senarai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), daripada segi muka baru yang akan dicalonkan.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Pengerusi BN Negeri dan Presiden PBB berkata, sudah menjadi amalan pengumuman senarai muktamad calon hanya dibuat selepas disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN pusat.

"Saya masih belum menerima senarai bagi tiga lagi parti komponen BN negeri tetapi kira-kira sesuku daripada 35 calon PBB adalah muka baru dan muda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Sarawak 2011 di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat di sini pada Rabu untuk memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian selepas Dewan Undangan Negeri dengan 71 kerusi dibubarkan hari ini untuk diadakan pilihan raya negeri ke-10, dijangka bulan depan. - Bernama

Zahid Yakin BN Terus Dapat Sokongan Padu Rakyat Sarawak

BAGAN DATOH, 20 Mac – Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Barisan Nasional (BN) akan terus mendapat sokongan padu rakyat pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 yang bakal diadakan.

Beliau berkata ini kerana kerajaan yang diterajui BN mampu membawa pembangunan untuk kesejahteraan negeri itu dan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN telah berjanji untuk membawa perubahan daripada segi pembangunan di Sarawak dan setakat ini sebanyak RM5 bilion telah diperuntukkan bagi pembangunan negeri berkenaan, katanya.

Hubungan erat yang terjalin antara kerajaan negeri Sarawak dan persekutuan akan terus memberi manfaat kepada penduduk negeri itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat kelompok cawangan Umno Bahagian Bagan Datoh di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan pengundi di Sarawak supaya jangan terpedaya dengan dakyah pembangkang untuk mengubah selera kerana ia akan membawa padah seperti yang dialami oleh negeri yang dikuasai oleh pembangkang selepas pilihan raya umum lepas.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud Taib mengumumkan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubar esok bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Gambar kenangan ketika Hari Penamaan Calon di Merlimau





Gambar kenangan bersama rakan-rakan seperjuangan di Merlimau, Melaka pada Hari Penamaan Calon di hadapan Politeknik Merlimau pada Februari yang lepas.

Ahad, 20 Mac 2011

BUKTI MENGKAFIR UMNO-TUN MAHATHIR

1. Dalam Utusan Malaysia 18hb Februari, 2011, Nik Aziz bertanya apa bukti dia mengkafir UMNO.

2. Allah Maha Kaya.

3. Kepada soalannya, dia sendiri menjawab, "Tolak agama ambil nasionalis, apa nama kerja ini". Jadi nasionalis UMNO di dakwa oleh Nik Aziz menolak agama. Dan dia bertanya, "apa nama kerja ini". Tolak agama bermakna kafir. Jadi Nik Aziz tuduh UMNO kafir.

4. Nik Aziz menuduh saya fikir agama ini sembahyang, puasa, nikah kahwin, tengok anak bulan, itu sahaja agama saya. Memang pun bagi saya semua ini adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam. Apa dianya yang saya tolak berkenaan agama dengan menjadi seorang nasionalis? Ini tidak diterangkan.

5. Tetapi sebelumnya dia mendakwa "sokong PAS ertinya sokong Islam". Kita jadi Islam setelah mengucap dua kalimah syahadah - "Tiada Tuhan (yang disembah) melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasul Allah".

6. Apakah Nik Aziz berpendapat hanya setelah mengucap "sokong PAS" baru jadi Islam dan sebelum itu kafir? Ini juga bermakna Nik Aziz mengkafirkan saya.

7. Tidak ada pengertian lain dengan dakwaan UMNO tolak Islam selain daripada mendakwa UMNO adalah kafir.

8. Apa lagi bukti yang dikehendaki oleh Nik Aziz yang dia telah mengkafir saya dan UMNO kerana kami nasionalis yang tidak sokong PAS.

9. Nik Aziz membandingkan dirinya dengan malaikat yang menegur Nabi. Saya bukan Nabi dan Nik Aziz bukan malaikat. Nik Aziz dan saya hanya manusia biasa dan ahli politik. Teguran ahli politik kerana kepentingan politiknya tidak sama dengan teguran malaikat.

10. Lagi pun teguran Nik Aziz menidakkan ke-Islaman saya, satu teguran (lebih tepat lagi satu tuduhan) yang amat serius.

11. Apakah ada orang Islam yang tidak melenting jika sesiapa mengkafirkannya? Apakah Nik Aziz tidak akan melenting jika saya kata dia sudah kafir? Belum saya kata itu pun Nik Aziz sudah melenting.

12. Berkenaan dengan Nik Aziz dan PAS memperkenalkan Islam kepada DAP, bukti menunjukkan PAS yang telah dipengaruhi DAP.

13. Lihat sahaja tindakan biadap terhadap Sultan dan Raja Muda Perak oleh ahli PAS, berguling-guling atas jalan menghalang kereta Raja. Sebelum berbaik dengan DAP ahli PAS lebih berpegang kepada budaya Melayu. Kerana mahu sokong DAP ahli PAS mengenepikan ke-Melayuan mereka. Dan sekarang tuntutan untuk mendirikan negara Islam pun sudah tidak didengari lagi.

14. Apabila bapa kepada DAP menyarankan supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran Islam, Nik Aziz tidak menolaknya kerana anggapannya yang saranan ini tidak seburuk nasionalisme orang Islam UMNO. Janganlah melenting jika saya kata Nik Aziz sudah terima saranan Lee Kwan Yew supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada Islam kerana ini tidak dahsyat seperti menjadi nasionalis Melayu Islam dalam UMNO.

15. Sekarang Nik Aziz mahu Melayu diutamakan kerana mereka adalah masyarakat majoriti di negara ini. Bukan masalah orang Melayu yang menyebabkan Nik Aziz mengubah pendirian terhadap bangsanya tetapi kerana Melayu menjadi majoriti dan dianya memerlukan undi orang Melayu, tidak lebih daripada itu.

16. Kenalilah Nik Aziz, orang yang utamakan hanya undi orang Melayu, bukan keprihatinan terhadap masalah hidup mereka.

Orang Melayu usah mudah lupa sejarah

Oleh HASNAH HUSSIIN


ISU-ISU seperti hak istimewa Melayu, Ketuanan Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu serta kontrak sosial telah dicungkil kembali dan ada pihak tertentu menggunakan isu ini untuk mencapai objektif yang kita tidak pasti apa sebenarnya yang mereka mahukan.

Wahai kaum Melayu semua, berhentilah kita mencanang isu-isu sebegini untuk kepentingan tertentu. Jangan kita lupa peranan dan kedudukan kita pada hari ini. Sudah sekian lama orang Melayu dijajah oleh kuasa asing. Kini, sudah tiba masanya untuk kita bangun memajukan dan pada masa yang sama, mempertahankan tanah air kita daripada diceroboh anasir luar. Orang Melayu patut bersatu dan menunjukkan kita bukanlah bangsa yang suka berpecah belah.

Orang Melayu pada hari ini jangan sekali- kali melupakan sejarah apatah lagi meninggalkan sejarah dalam usaha menuju kemajuan dan kemodenan. Orang Melayu patut menjadikan sejarah lalu menjadi lebih baik pada hari ini dan masa akan datang.

Mengapa? Dalam sejarah masyarakat Melayu zaman dahulu, orang Melayu merupakan pelaut yang terkenal kerana mereka boleh meramalkan pergerakan musuh dan kapal-kapal di lautan serta mengetahui arah angin. Kerana kebijaksanaan ini beberapa buah negeri di Tanah Melayu menjadi pusat persinggahan kapal-kapal dagangan dari beberapa negara luar.

Tetapi di manakah Melayu dalam bidang ini sekarang ini? Begitu juga dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang telah diserang Portugis dan Belanda. Mengapa mereka hendak menawan Melaka dan apa yang lebih penting adalah mengapa mereka dengan senang dapat menawan kota Melaka? Sebabnya kerana salah seorang pembesar Melaka pada waktu itu telah belot dengan membuka rahsia kota Melaka kepada musuh.

Peristiwa itu cukup memberikan pengajaran, bahawa orang Melayu jangan sekali-kali menjadi pengkhianat bangsa dan negara. Jangan ada antara kita kerana kepentingan tertentu menjaja masalah negara kepada negara lain dan meminta negara lain membantu menyelesaikan masalah kita.

Ingat! Budaya dan adat resam masyarakat Melayu Malaysia tidak sama dengan budaya negara lain.

Semasa negara ini dijajah oleh British, segala pahit maung telah ditelan oleh datuk nenek kita. Tetapi apa yang British sudah buat pada orang Melayu dan apa yang British pernah kata kepada orang Melayu?

Di zaman penjajahan, apabila disebut sahaja sekolah Melayu, sudah pasti kita dapat bayangkan tentang struktur, keadaan persekitaran dan bangunan sekolahnya.

Keadaan ini merupakan satu faktor mengapa pendidikan Melayu tidak maju dan terkebelakang jika dibandingkan dengan sekolah Inggeris yang didirikan kerajaan British. Selain daripada masalah bangunan, sebahagian sekolah Melayu yang ada pada waktu itu tidak mempunyai kemudahan-kemudahan yang sepatutnya di mana sebahagian besar tidak mempunyai kelas yang sistematik, bahan bacaan yang dibekalkan juga sangat sedikit yang mana sebuah buku terpaksa dikongsi oleh tiga atau empat pelajar.

Begitu juga dengan perpustakaan yang keadaannya sangat mendukacitakan. Ini mungkin disebabkan kurangnya sambutan pelajar Melayu itu sendiri dan ada kaitannya dengan kurangnya buku-buku rujukan dalam bahasa Melayu. Apa yang nyata pada waktu itu sekolah Melayu tidak diberikan kemudahan dan infrastruktur yang teratur sebagaimana sekolah Inggeris.

Itu dari segi pendidikan Melayu. Jadi, orang Melayu yang hidup pada zaman serba moden ini jangan lupa akan kerendahan pendidikan Melayu zaman dahulu. Tetapi sedarkah kita ada orang Melayu tidak menghargai kemudahan pendidikan yang ada pada hari ini. Kita lihat saja walaupun kemudahan pendidikan hari ini tidak ada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan negara membangun yang lain, masih ada anak-anak Melayu ponteng sekolah, ditendang keluar universiti dan malas belajar.

Di zaman penjajahan British juga, mereka menganggap orang Melayu apa? Orang Melayu dikatakan sebagai bangsa yang malas, tidak suka bekerja di bawah orang lain, tidak produktif, tidak mahu bekerja lebih kuat, cukup sekadar untuk menampung makan dan pakai sekeluarga.

Justeru, mereka tidak memberikan peluang kepada orang Melayu untuk terlibat sama dalam sistem pemerintahan dan juga ekonomi kapitalis mereka.

Adakah bangsa Melayu hari ini masih mahu dilabel sebegitu oleh orang luar?. Cuba kita lihat apa yang berlaku hari ini? Masih ada segelintir orang Melayu yang walaupun telah diberi pelbagai kemudahan, bantuan, subsidi, dan biasiswa masih lagi menongkat dagu? Rasanya sudah sampai masanya untuk kita membuang sindrom ‘subsidi’ dan usahakanlah untuk membantu diri sendiri dengan bekerja lebih kuat dan gigih.

Tunjukkanlah kepada negara luar yang orang Melayu hari ini tidak lagi malas dan mampu bekerja sendiri. Dahulu kerajaan memberikan tanah kepada orang Melayu untuk diusahakan. Ini kerana orang Melayu tidak mempunyai tanah untuk bercucuk tanam dan hanya mampu menyewa dari orang lain dan mereka sentiasa menjadi mangsa orang tengah. Atas keprihatinan ini, pihak kerajaan memberikan tanah kepada mereka melalui rancangan Felda.

Sebagai penduduk pribumi dan penduduk asal Tanah Melayu, orang Melayu diberi kuasa untuk mentadbir negara. Parti-parti yang menang akan memegang tampuk pemerintahan. Bukan itu sahaja ‘pertuanan Melayu’ akan tetap kekal dalam semua aspek politik, ekonomi dan sosial. Selepas itu muncul pula ‘kontrak sosial’ yang mengikat hubungan antara bangsa Melayu, Cina dan India. Kuasa-kuasa ini diperturunkan lagi ke peringkat bawah apabila wakil-wakil yang dipilih rakyat akan duduk di kerusi Parlimen. Begitu tinggi kuasa yang diberikan oleh rakyat. Tetapi apa yang berlaku?

Ada segelintir masyarakat Melayu yang telah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan politik masing-masing sehingga melupakan tanggungjawab utama membantu rakyat yang telah memberikan mereka kuasa sebelum ini.

Itu adalah segelintir isu yang telah menampakkan senario-senario kealpaan masyarakat Melayu terhadap sejarah. Ingatlah perpecahan adalah bibit-bibit ke arah kemusnahan sesuatu tamadun manusia. Barangkali kita kena selidik balik faktor-faktor kejatuhan sesuatu tamadun dunia sebelum ini. Itulah pentingnya Sejarah!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains KemanusiaanUniversiti Malaysia Pahang

“Facebook” Medium Penting Untuk Pemimpin Tahu Masalah Rakyat


KUCHING, 20 Mac – Program sembang “Mari Berjumpa Mari Berhubung” dengan rakan-rakan Facebook daripada Sarawak dianggap sebagai salah satu medium yang terbaik kepada penduduk negeri ini terutama generasi muda untuk berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa rakan online Najib yang ditemui menyifatkan medium berkenaan sesuai dengan perubahan dan arus globalisasi dalam era teknologi maklumat yang menuntut perubahan ke arah itu bagi merealisasikan sebuah negara yang cemerlang dan rakyat terbilang.

Seorang rakan Fecebook daripada Kapit, Nor Farhana Any Abdullah berpandangan medium tersebut merupakan jambatan yang terbaik untuk rakyat menyalurkan segala masalah dan berhubung terus dengan pemimpin tertinggi negara.

Katanya langkah yang diambil oleh Perdana Menteri itu adalah satu platform yang menggalakkan lagi pembentukan model hubungan dua hala antara rakyat dan pemimpin dalam era teknologi maklumat hari ini.

“Melalaui Facebook ini, kita dapat salurkan apa jua masalah selain dapat memberikan imput kepada PM berhubung agenda rakyat di sesuatu kawasan terutama kawasan yang kita di diami untuk diambil tindakan serius oleh kerajaan.

“Menerusi kaedah ini juga, hubungan kerajaan antara rakyat akan bertambah erat kerana mereka dapat berhubung secara maya di mana-mana sahaja . Saya datang pada program ini pun adalah untuk memberikan sokongan kepada PM selain melihat beliau secara dekat,” katanya.

Nor Farhani merupakan salah seorang rakan Facebook Datuk Seri Najib Razak yang memeriahkan perjumpaan Datuk Seri Najib bersama rakan onlinennya yang diadakan di bangunan lama Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Sementara itu seorang rakan Facebok daripada Kuching, Yasid Kalbi pula melihat usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri itu sewajarnya menjadi contoh kepada seluruh wakil rakyat yang lain.

“Ini kerana peluang sedemikian akan memudahkan kami menyalurkan pelbagai masalah yang timbul kepada kepada ADUN. Inilah pemimpin yang kiita cari dan kita bukannya dududk di Pejabat semata-mata.

“Lagi satu apa yang saya harapkan Perdana Menteri dapat mengadakan majlis seumpama ini secara lebih kerap untuk rakyat bersua muka dengan pemimpin tinggi negara,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang rakan Facebook Najib yang menetap di Sibu, Abdul Malik Kadir sanggup meredah perjalanan yang memakan beberapa jam semata-mata dengan tujuan untuk berjumpa Perdana Menteri hari ini.

“Ini memberikan peluang dan ruang kepada kita sepenuhnya untuk berhubung bersama PM. Kita perlu ambil kesempatan ini yang terbuka luas untuk seluruh rakyat memberikan pandangan dan komen terhadap kerajaan.

“Saya cukup bangga dan berterima kasih kepada Perdana Menteri yang memanfaatkan media baru untuk berhubung dengan rakyat kerana beliau memahami apa kehendak rakyat.

“Di situlah tempat dan platform yang sesuai untuk kita adukan sebarang masalah yang timbul di kawasan kita dan sebagainya. ADUN tetap kita tidak pinggirkan…Cuma ini memberi peluang yang luas kepada kita untuk bersembang dengan Perdana Menteri kita semua,” katanya. – MediaUMNO

BN Tidak Jual Janji, Pembangkang Jual Ubat Musim Pilihan Raya


ASAJAYA, 19 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) tidak pernah menjual janji sepertimana parti pembangkang kerana BN mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Menurut beliau pembangunan di Sarawak yang jauh telah berubah hari ini berbanding daripada dahulu menujukkan berkat kepimpinan BN yang menunjangi kerajaan negeri dan hubungan baik dengan kerajaan pusat.

“BN bukan main atas angin dan sekadar jual janji seperti pembangkang. Kami datang bukan sebarang datang tetapi datang dengan buah tangan untuk membantu rakyat mengubah taraf hidup.

“Bak kata pepatah… Esok mungkin lebih baik daripada hari ini. BN tidak sama sekali mungkir janji. Cuma kalau lambat sedikit tu adalah…. Yang penting kita tetap laksanakan untuk rakyat.

“Tengok Sarawak hari ini bagaimana perubahan yang berlaku. Baik dari sudut infrstruktur dan pembangunan lain untuk rakyat luar bandar dan bandar. Kemudahan air, elektrik, pelabuhan, lapangan terbang dan banyak lagi yang telah mengalami perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Kg Semera, Saadong Jaya, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud dan pimpinan BN yang lain.

Ribuan penduduk setempat memenuhi dewan dan melimpahi keluar semata-mata untuk mendengar dan melihat dengan lebih dekat pemimpin nombor satu negara.

Najib seterusnya menambah, kemajuan yang telah dicapai hari ini perlu dilonjakkan lagi agar segala yang dirancang dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Sebab itulah kerajaan persekutuan beri peruntukan sewajarnya kepada Sarawak kerana kita menyedari itu adalah tanggung jawab kita dan kita mengimbangi kemajuan dan menegakkkan keadilan sosial,” katanya.

Meneruskan lagi ucapannya, beliau seterusnya mengingatkan rakyat negeri itu agar jangan sesekali melakukan eksperimen dalam soal pemerintahan negara.

Ini kerana katanya mereka yang berada pada tempat tersebut perlulah yang ada pengalaman di tampuk pemerintahan untuk memastikan masa depan generasi seterusnya.

“Jangan gadai masa depan anak cucu kita dan jangan letakkan mereka pada tempat yang tidak sepatutnya dan kita perlu letakkan orang yang ada pengalaman di tampuk pemerintahan.

“Kita boleh buat eksperimen tetapi di tempat lain dan bukannya dalam soal pemerintahan. Janganlah termakan hasutan kerana mereka hanya mahukan undi semata-mata

“BN bukan sahaja mahukan undi tetapi mahukan juga pembangunan untuk dilaksanakan terhadap rakyat. Pembangkang hanya datang ‘jual ubat’ pada musim pilihan raya sahaja dan akan hilang selepas waktu berkenaan,” katanya. – MediaUMNO

DUN Sarawak Bubar Isnin Ini

DUN Sarawak bubar esok


Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin dan Abdul Taib Mahmud di Pekan Serian sempena Majlis Pelancaran Sejiwa Senada Bahagian Samarahan, di Sarawak, semalam. – MINGGUAN MALAYSIA/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


KUCHING 19 Mac - Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan Isnin ini.

Beliau berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam satu pertemuan sebelum ini.

Katanya, kini terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.

"Saya telah bertemu Yang Dipertua Negeri untuk berunding mengenai hal pembubaran DUN dan beliau bersetuju dengan saya. Arahan pembubaran telah diberi dan ia akan berjalan pada 21 Mac, salinannya akan diberi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.

Beliau membuat pengumuman berkenaan pada sidang akhbar yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), petang ini.

Pengumuman berkenaan menamatkan spekulasi berhubung pembubaran DUN yang memuncak apabila Abdul Taib mengadakan pertemuan bersama Abang Muhammad Salahuddin di Astana Negeri kira-kira sejam, pagi kelmarin.

Najib Minta Rakan Facebook Sokong Dan Yakini Beliau Sebagai Perdana Menteri

KUCHING, 19 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta golongan muda melalui rakan-rakan Facebook beliau supaya memberikan sokongan dan kepercayaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri bagi membawa masa depan yang lebih baik untuk Sarawak.

Sambil melahirkan perasaan gembira bertemu dengan 250 rakan online dari seluruh Sarawak buat pertama kali, Najib berkata golongan muda perlu mempunyai idealisme dan harapan kepada kerajaan dalam soal tadbir urus yang adil dan telus.

“Kerajaan mungkin tidak sempurna. Tapi kami cuba sedaya mungkin, bagi menjadi kerajaan dan tadbir urus yang lebih baik agar rakyat lebih yakin bahawa ia berada di sini untuk melindungi kepentingan setiap rakyat negara ini,” katanya pada sesi “Mari Berjumpa Berhubung” dengan rakan-rakan Facebook tempatannya di sini, yang kemudian menyertai beliau untuk bersarapan dan bersua muka dengannya.

Najib, yang kini mempunyai 590,000 peminat dalam Facebook dan lebih 90,000 dalam Twitter, berkata ia semakin bertambah penting bagi beliau dan pemimpin yang lain dalam pentadbirannya untuk berinteraksi secara bermakna dengan setiap rakyat Malaysia.

Selepas mengadakan dua sesi yang sama di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya, beliau berkata para pemimpin perlu mencari pengguna internet dan laman sosial yang lain di mana bilangan rakyat atau orang ramai yang didapati semakin bertambah untuk melibatkan mereka dalam dialog.

“Jika anda tidak boleh menemui saya, saya akan pergi kepada anda. Saya akan cuba dan bertemu dengan seberapa ramai rakan-rakan online apabila saya melawat seluruh Malaysia,” katanya sambil berharap setiap seorang rakan online yang dijemput beliau akan menyokong dan mengamalkan prinsip 1Malaysia.

Beliau menyifatkan perjumpaan hari ini sebagai satu daripada cara untuk berhubung dengan rakyat melalui cara yang baru dan inovatif sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan.

“Saya juga berinteraksi dengan tetap dalam Twitter, jadi jika anda tertanya-tanya, ya, memang saya yang sebenarnya membalas tweet anda. Saya lakukan pada sebelah pagi sebelum pergi kerja, dan antara temu janji dan selepas bekerja sebelum saya tidur,” kata Najib.

Mengenai Sarawak, beliau berkata kerajaan persekutuan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi membawa lebih banyak pelan pembangunan terutama selepas pilihan raya yang akan diadakan bila-bila masa sahaja.

Sementara kerajaan menghadapi pelbagai cabaran dalam membawa Sarawak setanding dengan semenanjung, beliau berkata negeri itu mencapai kadar tertinggi dalam pembangunan sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Sarawak bukan sebuah negeri yang kecil. Saya ingat Pahang ialah sebuah negeri yang besar tapi bagi orang di sini 60 km adalah satu jarak yang dekat tidak seperti di Perlis apabila jarak yang sama sudah pasti ia sudah berada di negeri lain,” katanya.

Najib berkata bagi melaksanakan demokrasi, yang dilaksanakan dengan penyertaan rakyat, kerajaan amat komited bagi membawa perubahan bagi menggambarkan aspirasi rakyat.

Berbanding dengan negara-negara seperti Mesir dan Libya, di mana hak demokrasi merupakan satu isu yang sangat penting, beliau berkata Malaysia adalah berbeza kerana ia telah membuktikan bahawa sistem demokrasi itu digambarkan melalui peti undi.

Sementara itu, seorang dari rakan Facebook beliau dari Betong, Grace Graa berkata beliau bangga kerana Perdana menteri memanfaatkan media baru untuk berhubung dengan rakyat kerana beliau memahami apa kehendak rakyat.

“Majlis bersua muka ini amat baik,” katanya sambil berharap lebih banyak pertemuan seperti ini diadakan di Sarawak pada masa depan.