Rabu, 30 Mac 2011

Khidmat Perunding Luar Antara Input GLC Tingkat Prestasi

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Penggunaan khidmat perunding luar dalam menyediakan sistem dan panduan amalan terbaik, menjadi antara input yang membolehkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam Program Transformasi GLC, meningkatkan prestasi masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasil sumbangan perunding terbabit membolehkan kumpulan G-20 menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mencatatkan peningkatan keuntungan bersih agregat sebanyak RM19.3 bilion pada 2007 berbanding RM9.6 bilion sebelum Program Transformasi GLC dilancarkan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), sumbangan penambahbaikan proses dan penilaian pelaburan yang matang menyaksikan nilai bersih diselaraskan portfolio Khazanah meningkat daripada RM33.3 bilion pada Mei 2004 kepada kira-kira RM53.8 bilion pada Dis 2009.

“Prestasi pelaburan terkini menunjukkan Khazanah berjaya mencatatkan pertumbuhan nilai bersih pada kadar kira-kira 13 peratus setahun dalam tempoh enam tahun lepas,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Najib menjawab pertanyaan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mengenai jumlah kos perundingan yang dibayar oleh Khazanah untuk semua projek sejak 2003, berserta butiran nama firma perunding projek, jumlah dan tarikhnya.

Najib berkata Khazanah menggunakan khidmat pelbagai perunding luar untuk tujuan runding cara berkaitan pelaburan seperti nasihat perundangan, khidmat juru audit dan perunding kewangan serta runding cara am seperti penambahbaikan sistem operasi dan teknologi maklumat.

“Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai nama-nama firma perunding dan juga jumlah yang dibayar ini tidak dapat dinyatakan kerana ia tertakluk kepada antara lainnya, pertimbangan komersial dan kerahsiaan yang lazimnya dimeterai antara dua pihak,” katanya.

Najib berkata bagi rundingan am, peningkatan sistem perakaunan dan proses membentuk sebahagian besar daripada kos penggunaan perunding sementara bagi tujuan pelaburan mewakili kira-kira 0.7 peratus jumlah nilai transaksi pelaburan dan penjualan yang dilaksanakan oleh Khazanah antara 2003 dan 2009.

“Jumlah itu jauh lebih rendah daripada kadar pasaran iaitu antara 1 peratus dan 1.5 peratus, yang lazimnya dikenakan oleh perunding luar. Penggunaan perunding khidmat runding cara pelaburan juga penting bagi membantu Khazanah membuat keputusan pelaburan yang tepat.

Najib berkata adalah menjadi amalan terbaik untuk melaksanakan penilaian berhemah dari segi kewangan dan perundangan sebelum pelaburan atau pembelian dilaksanakan oleh Khazanah.

Sebarang pelaburan atau pembelian yang dilaksana tanpa penilaian berhemah yang sewajarnya merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata perunding yang dilantik oleh Khazanah pula terdiri daripada pihak tempatan dan juga asing yang dipilih berdasarkan kepakaran dan mutu perkhidmatan masing-masing.

Menurutnya Khazanah juga mempunyai sistem yang mantap bagi menilai prestasi para perunding serta memberikan maklum balas.

Beliau berkata kajian mengenai sektor ekonomi adalah merupakan bahagian utama dalam mandat pelaburan Khazanah dan sebahagian besar daripada cadangan penyusunan semula industri memerlukan penggunaan perunding luar, selain cadangan yang diterima oleh kerajaan.

Tolak Janji Manis “Hantu” Dan “Jembalang” Pada 16 April Ini

KUCHING, 30 Mac – Rakyat Sarawak perlu menolak “hantu” dan “jembalang” yang akan datang dengan mulut yang manis membuat pelbagai janji dan tawaran tetapi sebenarnya hanya pembohongan dan kepalsuan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April depan adalah peluang terbaik bagi rakyat Sarawak berbuat demikian.

Muhyiddin berkata “hantu” dan “jembalang” itu sebahagiannya datang dari Semenanjung manakala sebahagian yang lain sudah ada di negeri ini.

“Perjuangan mereka hanya untuk kepentingan suku sakat mereka… bukan untuk semua rakyat. Ini (pilihan raya negeri) adalah detik penentuan yang penting bagi rakyat Sarawak untuk masa depan yang terjamin,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di pinggir Sungai Sarawak di Kampung Boyan-Gersik di sini hari ini.

Muhyiddin berkata Barisan Nasional (BN) tidak pernah berbohong kepada rakyat dan berharap rakyat terus memberi memberi sokongan apabila tiba masa penentuannya supaya rakyat Sarawak terus terbela.

Katanya apabila tiba pilihan raya, pertimbangan-pertimbangan tertentu perlu diambil kira dalam memilih parti yang boleh dipercayai untuk mewakili penduduk Sarawak.

Kita harus bersyukur negara kita dan Sarawak khususnya adalah negara dan negeri yang begitu aman, begitu stabil dan begitu maju.

“Pertimbangan utama yang perlu diambil kira (pada pilihan raya) adalah untuk menjamin politik yang terus kekal stabil, menjamin proses pertumbuhan ekonomi negeri terus mantap, menjamin pengagihan kekayaan yang ada di negara dan negeri dilakukan secara adil dan saksama serta menjamin masa depan generasi muda yang maju dan cemerlang,” katanya.

Muhyiddin berkata ini semua telah dilakukan oleh BN, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan program-program transformasi yang hebat.

“Kita tidak mahu Sarawak, negeri yang besar dengan penduduk yang ramai terpinggir daripada arus perdana. Kita tidak mahu Sarawak tidak terpaut dalam transformasi besar di peringkat nasional.

“Saya ingin mengajak rakyat Sarawak berganding bahu membantu BN untuk mengekalkan kuasa politik… kalau boleh lebih besar daripada pilihan raya dahulu,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang tiba di Kampung Boyan-Gersik dengan menaiki sampan pada pukul 2.30 petang, memulakan lawatan ke kampung itu dengan mengecat sebahagian surau sementara Kampung Gersik yang dalam proses baik pulih.

Beliau yang diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu kemudian melawat premis-premis yang mengusahakan kek lapis Sarawak, satu perusahaan yang cukup terkenal di kampung itu.

Timbalan Perdana Menteri kemudian mengunjungi orang kelainan upaya (OKU) Awang Ahmad Awang Bakri, 64, di Kampung Gersik, yang cacat kakinya sejak lahir, diikuti lawatan ke rumah seorang warga emas, Dayang Jamilah Abang Lias, 86, yang tinggal bersama seorang anaknya yang mengalami masalah mental.

Dalam lawatan ke rumah Awang Ahmad dan Dayang Jamilah, Muhyiddin meminta supaya kedua-dua mereka diberi bantuan oleh Baitulmal dan rumah mereka diperbaiki.

Kontena Nasional Bantu Perbaiki 10 Rumah Daif Sekitar Ampang

AMPANG, 30Mac- Sebanyak sepuluh buah rumah daif dikenal pasti untuk dibantu Kontena Nasional melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sudah disusun pihaknya sejak dua tahun lepas, dengan permulaan melawat dan memberi bantuan kepada rumah anak-anak yatim sebelum ini, ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional, Hood Osman.

“Kontena Nasional mengambil berat keperluan rakyat terutama yang berada di pusat kebajikan dan keluarga-keluarga daif sebegini bagi menyediakan mereka dengan bantuan barangan keperluan dan sokongan moral.

“Buat masa ini, berdasarkan pengalaman yang ada di GLC untuk kita menjadi syarikat yang prihatin kepada keadaan mereka yang tidak bernasib baik ini dapat dibantu dan Kontena Nasional sebagai sebuah syarikat di bawah Permodalan Nasional Berhad mengambil berat dan kita bantu setakat yang kita boleh bantu,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan bantuan berkenaan.

Menurutnya, bantuan yang akan diberikan bukan dalam bentuk wang tunai sebaliknya Kontena Nasional akan membantu dari segi membaik-pulih semula rumah-rumah ini untuk lebih selesa diduduki oleh keluarga-keluarga yang berkenaan.

Dalam masa yang sama, Ketua MIC cawangan Tasik Campuran, P. Gopalakrisnan melihat usaha yang dilakukan Kontena Nasional ini merupakan satu tindakan yang cukup baik dalam membantu golongan yang memerlukan seperti keluarga ini.

“Saya juga melihat usaha kepimpinan BN untuk turun padang seperti ini satu pendekatan terbaik dalam melihat sendiri dan berusaha untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku di peringkat akar umbi. Saya harap, selepas ini usaha dan pendekatan ini tidak berhenti setakat ini,” ujarnya yang juga merupakan Naib Ketua MIC Bahagian Ampang. -MediaUMNO

Malaysia Mahu Martabatkan Al-Quran

SHAH ALAM, 19 Jan – Malaysia mahu memainkan peranan aktif dalam menggerakkan usaha memartabatkan Al-Quran dan ilmu di kalangan umat Islam sejagat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia bertujuan mengembalikan kecemerlangan tamadun Islam kepada umatnya.

“Usaha ini dapat dimulakan dengan berkesan melalui penghayatan Al-Quran yang merupakan sumber ilmu teragung untuk kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat,” katanya menerusi ucapan yang disampaikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin pada majlis penutup Program Wakaf Al-Quran peringkat kebangsaan 2010 di sini malam ini

Program tersebut anjuran Kementerian Pertahanan dan Yayasan Restu dilancarkan sejak 11 Ogos 2010 bertujuan untuk mengedarkan Al-Quran termasuk kepada kaum minoriti Islam di negara seperti Kemboja, China dan Rusia.

“Kita rasa bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana dapat menyediakan naskah Al-Quran yang lengkap dengan terjemahan dalam bahasa ibunda mereka sebagai rujukan dan hidup mereka seharian,” kata Ahmad Zahid.

Warga Angkatan Tentera Malaysia bersama masyarakat Malaysia dilaporkan telah berjaya mengumpul dana melebihi RM1 juta bagi membiayai percetakan Al-Quran untuk diwakafkan kepada masyarakat minoriti Islam di negara lain.

Selasa, 29 Mac 2011

Kerajaan BN Tidak Pernah Politikkan Soal Pendidikan Rakyat

KUALA LANGAT, 29 Mac – Kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan pelajaran termasuk pendidikan agama, demikian tegas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan memberi contoh pembangunan sekolah sebagai satu bukti komitmen kerajaan BN membangunkan pendidikan beliau berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya tidak kira di mana sahaja, walaupun di negeri-negeri yang kini diperintah pakatan pembangkang seperti Selangor.

Jelas beliau lagi bidang pendidikan ini merupakan tanggungjawab kerajaan, yang tidak boleh dipandang remeh dan dipolitikkan kerana ia melibatkan masa depan anak bangsa termasuk di negeri Selangor.

“Dan sebab itu tidak ada seseorang rakyat, di mana sahaja kita berada terkecuali daripada menerima pendidikan yang cukup baik dan sempurna. Inilah cita-cita dan kepimpinan BN sejak mula sehinggalah ke hari ini.

”Soal pendidikan, kita tahu ia menjadi perkara yang paling utama. Perubahan besar dalam pembangunan negara kita pada hari ini adalah hasil usaha kita dari awal lagi untuk mendidik rakyat dengan ilmu pengetahuan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan Meraikan Ulangtahun 100 tahun Sekolah Kebangsaan Jinjang, dan Sarapan 1Malaysia di sini pagi tadi.

Tambahnya, bidang pendidikan kini menjadi agenda utama kepada negara kerana ia menyumbang kepada pembangunan negera di masa depan.

”Sebab itu, bidang pendidikan diletakkan sebagai salah satu sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Tetapi saya baca suratkhabar hari ini, ada pemimpin pembangkang, tidak percaya dengan apa yang disebutkan Perdana Menteri. Mungkin dia tidak baca dengan buku Transformasi Kerajaan yang telah dikeluarkan kerajaan. Saya cadangkan pemimpin pembangkang dan rakyat semua baca buku tersebut. Dalam buku tersebut, kita dah tulis satu-persatu kejayaan kita,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mempersoal tindakan pemimpin pembangkang yang mempersoalkan langkah dan pendekatan kerajaan dalam soal pendidikan ini.

“Kita tidak mempolitikkan hal-hal yang berkaitan pembangunan negara. Tidak pernah kita politikkan soal kepentingan rakyat, soal pendidikan tidak kita politikkkan, soal turunkan kadar jenayah tidak kita politikkan, soal meningkatkan pendapatan rakyat tidak kita politikkan, yang mempolitikkan semua itu ialah pembangkang,” ujarnya lagi.

Beliau berkata sekolah bukanlah tempat untuk berkempen serta menegaskan pilihan raya umum juga masih lama lagi.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan berita gembira untuk warga SK Sijangkang iaitu bantuan RM500,000 bagi keperluan sekolah itu dan bantuan bagi membina bilik darjah tambahan.

Guru Besar SK Sijangkang Tomiran Kasimon dalam ucapannya memberitahu bahawa sekolah itu mempunyai 1,418 murid yang ditempatkan dalam 38 kelas dan sepatutnya memerlukan 41 bilik darjah bagi menampung jumlah bilangan pelajar.

Dalam perkembangan yang berkaitan, sebagai tanda komitmen kerajaan persekutuan terhadap pendidikan agama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, hari ini menyampaikan geran bantuan berjumlah RM3.22 juta kepada 23 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada satu majlis di sini, dengan setiap SABK menerima sebanyak RM140,000.

Pada majlis perjumpaan bersama wakil-wakil sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) seluruh Selangor di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Sungai Manggis di sini sempena lawatan seharinya ke Selangor, beliau turut mengumumkan bantuan pengurusan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) seluruh negara berjumlah RM4.998 juta.

Daripada jumlah itu, RM1.4 juta diperuntukkan untuk SAR dan KAFA di Selangor, katanya. -MediaUMNO

Ahad, 27 Mac 2011

Senarai masih dalam tapisan

MUKAH 27 Mac – Senarai nama calon Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat atau Sabtu ini untuk dimuktamadkan.

Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kini senarai berkenaan masih berada dalam proses tapisan.

Sehubungan itu katanya, senarai penuh calon itu hanya akan diumumkan selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri.

“Senarai memang sudah ada, bagaimanapun belum diputuskan tetapi saya telah mengenal pasti calon bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sama ada yang akan dikekalkan atau digugurkan, tetapi yang pasti akan ada muka baru.

“Bagi parti-parti komponen yang lain pula, saya belum mendapat senarai semua calon daripada mereka tetapi apa yang pasti menjelang 1 April, senarai lengkap itu akan saya peroleh,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan PBB Balingian di Bandar Baharu, di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Taib meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kedudukan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Larry Sng Wei Shien yang kini tidak ada parti selepas disingkirkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang merupakan komponen BN.

Katanya, semua pihak perlu menghormati perundingan yang dilakukan oleh pihak berkaitan kerana ia masih berjalan.

‘‘Jika saya memberi komen sekarang, bukankah ia akan mengganggu perundingan pihak-pihak terbabit?. Kita tunggu, pasti ada hasil perundingan mereka nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Taib menegaskan, beliau mempunyai cara dan pendekatan sendiri dalam menangani sesuatu isu melibatkan BN Sarawak tanpa perlu campur tangan pihak luar.

“Pada saya, setiap permasalahan ada penyelesaian dan sebarang percanggahan perlu diselesaikan secara muafakat,” katanya.

Pilihan Raya Bukan Tempat Untuk Buat Ujian – Ketua Puteri UMNO

SABUYAU (SARAWAK), 27 Mac – Penduduk Sarawak tidak seharusnya menjadikan pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini, sebagai tempat membuat uji kaji dengan memberi peluang kepada pembangkang untuk memenangi sesuatu kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya tersebut, kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata jangan mempertaruhkan masa depan negeri Sarawak hanya semata-mata mahu mencuba sesuatu yang baru dalam politik pembangkang yang sebenarnya telah terbukti gagal untuk membawa apa-apa perubahan kepada rakyat.

“Pilihan raya bukan tempat mahu buat ujian, ujian…saya sebagai anak Sabah telah merasai bagaimana peritnya 10 tahun berada di bawah pemerintahan pembangkang, kesannya amat perit sekali iaitu Sabah yang suatu ketika antara negeri termaju selepas itu jatuh,” katanya ketika berucap pada majlis pemimpin
bersama rakyat di sini hari ini.

Katanya kesan daripada sesuatu uji kaji melalui penukaran kerajaan yang memerintah bukan dirasai hari ini, sebaliknya ia akan memberi kesan kepada generasi akan datang.

Menurutnya kerajaan yang sedia ada di bawah Barisan Nasional (BN) telah terbukti banyak membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat serta negeri Sarawak dan ia seharusnya dipertahankan pada pilihan raya negeri nanti.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata pembangkang tidak ada pengalaman dalam mentadbir kerajaan dan kesannya kini sudah boleh dilihat di Selangor sebagai contoh apabila Yayasan Selangor yang sebelum ini mempunyai dana sebanyak RM67 juta, selepas empat tahun memerintah menghadapi masalah defisit sebanyak RM7 juta.

“Jangan permain masa depan anak-anak kita, hanya kerana marah seekor nyamuk, kelambu habis dibakar,” katanya.

Dalam pada itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata pembangkang hanya datang lima tahun sekali iaitu ketika musim pilihan raya dan mereka tidak faham malah langsung tidak mengetahui apa masalah rakyat di peringkat bawahan sebaliknya apa
yang mereka tahu hanyalah mengkritik kerajaan sahaja.

“Jangan nak tahu masalah rakyat, jalan mana yang perlu mereka pakai untuk ke kampung (Lingga) pun mereka tidak tahu, orang macam inikah yang kita mahu pilih jadi pemimpin,” katanya.

Sarawak yang mempunyai 71 kerusi DUN akan mengadakan pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini manakala pencalonan pada 6 April.

GTP Lakar Banyak Kejayaan Pertama, Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat – Najib

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diterajui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) melakar banyak kejayaan pertama yang belum pernah diraih selain telah meningkatkan taraf kehidupaan jutaan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata setelah berlalunya tempoh setahun pelaksanaan GTP, kerajaan telah meneroka ufuk yang baharu dan kini berada di ambang kejayaan yang lebih besar lagi.

“Bagaimanapun, kita juga menyedari bahawa kemenangan belum dapat diisytiharkan selagi matlamat kita untuk menjadi sebuah negara maju masih belum tercapai,” katanya dalam perutusan perdana di dalam Laporan Tahunan GTP 2010 yang diterbitkan JPM.

Justeru, Najib berkata kerajaan akan terus berusaha dengan menetapkan sasaran yang lebih tinggi untuk bergerak maju ke hadapan.

Beliau berkata GTP telah memperlihatkan kejayaan yang ketara dalam semua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan apa yang penting dalam pencapaian tahun pertama GTP ini ialah ia telah membawa bersama-sama dengannya angin perubahan yang telah melanda keseluruhan jentera kerajaan.

“Ia telah menyalakan minat dan kesungguhan yang baharu dalam kalangan kakitangan awam serta memberikan cabaran kepada mereka yang lain untuk merealisasikan potensi penuh mereka dan melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.

Najib berkata kebanyakan sasaran yang ditetapkan di bawah GTP adalah besar dan ia dibentuk melalui proses usaha sama antara kumpulan cerdik pandai terbaik dalam sektor kerajaan dan swasta.

Beliau berkata dalam usaha memenuhi hasrat rakyat, terbukti bahawa kerajaan sentiasa beriltizam untuk melakukan yang terbaik bagi menyampaikan hasil yang positif.

“Kejayaan yang telah dicapai ini juga telah diakui oleh pihak ketiga yang terkenal dan bebas, termasuk pakar-pakar antarabangsa yang berwibawa daripada organisasi bereputasi baik.

“Pengesahan dan keyakinan yang diberikan oleh mereka mengukuhkan lagi usaha kita dalam tempoh setahun ini,” katanya.

Najib berkata meskipun GTP tidak sunyi daripada kesangsian dan kritikan segelintir pihak, namun rakyat sendiri yang lebih layak menghakimi prestasi dan kemajuan yang telah dicapai oleh kerajaan.

“Kita percaya bahawa dokumen Laporan Tahunan GTP yang pertama ini menjadi bukti yang menunjukkan betapa kerajaan Malaysia gigih berkhidmat untuk rakyat dan memacu usaha yang banyak bagi membawa perubahan kepada negara kita,” katanya.

Menurutnya sebagaimana yang dijanjikan, keseluruhan prestasi GTP dan NKRA untuk 2010 telah disiarkan untuk tatapan umum tanpa sebarang prasangka.

Bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan, beliau berkata, kerajaan berhasrat untuk berkongsi segala kisahnya dengan pihak berkepentingan sama ada ia berkaitan dengan kejayaan, kekurangan, rintangan mahupun pengajaran bermakna yang telah dipelajari sepanjang proses tersebut.

Najib berkata beliau yakin bahawa Pelan Hala Tuju GTP, NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berasaskan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) untuk memacu pertumbuhan ekonomi pada hakikatnya, telah berada pada landasan terbaik untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020.

“Tidak dinafikan bahawa perjalanan pada masa hadapan akan lebih mencabar, malah mungkin mengatasi cabaran yang telah dihadapi pada tahun lalu, namun kita mampu, malah bersedia dan berkesanggupan untuk memikul tugas menjuarai usaha membawa hasil yang ketara lagi bermakna kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata GTP akan terus mengenal pasti dengan jitu masalah sebenar dan menyampaikan penyelesaian yang ketara yang bertujuan mentransformasikan negara yang tercinta ini dan memberikan impak kepada rakyat tanpa mengira siapa, apa dan di mana jua mereka berada.

“Dalam kita mengorak langkah yang gagah ke hadapan bersama-sama sebagai negara yang bersatu, saya ingin memberikan kepastian di sini bahawa tiada seorang pun warga Malaysia yang akan diabaikan atau dibiarkan ketinggalan,” katanya.

Laporan tahunan pertama GTP itu membuat penilaian terhadap semua yang berlaku pada Tahun 1-Fasa 1 (2010-2012) GTP yang menonjolkan banyak kejayaan dicapai selain juga kelemahan yang ada, pengajaran penting yang telah dipelajari dan langkah seterusnya yang perlu diambil untuk mencapai Wawasan 2020.

Program Turun Padang PM Ke Muar, Kluang Terima Sokongan Luar Biasa Rakyat

MUAR, 26 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dalam lawatan kerja ke bandar ini, hari ini mengadakan kunjungan mesra bertemu rakyat khususnya peniaga di pusat bandar Muar.

Perdana Menteri dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tiba pada jam 9.35 pagi, untuk beramah mesra dengan rakyat di bandar Maharani.

Turut serta Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Jamilah Ariffin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam dan Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Sejurus tiba di Jalan Meriam dan Jalan Sayang, Perdana Menteri dan rombongan disambut mesra oleh rata-rata peniaga yang tidak putus-putus menghulurkan salam kepada beliau dan isteri.

Najib turut melihat carta proses bagi mengatasi banjir kilat serta menaik taraf sistem perparitan dalam kawasan bandar Muar.

Dalam kunjungan mesra itu, Perdana Menteri turut berkunjung ke gerai perniagaan dan pinggir bandar di Jalan Sisi dan Jalan Abdullah sebelum melawat pondok kawalan polis yang disediakan di situ.

Cuaca panas membuatkan Perdana Menteri dan rombongannya tidak melepaskan peluang untuk menikmati cendol di sebuah gerai berdekatan sebelum beredar ke Pasar Awam Maharani dan Terminal Bas dan Perhentian Teksi Bentayan, untuk berjumpa peniaga di kawasan berkenaan.

Bagi peniaga cendol, Shamsu Bibi Hassan, 55, kunjungan Perdana Menteri dan rombongan ke gerai cendol miliknya adalah sesuatu yang tidak diduga.

“Siapa sangka Perdana Menteri dan isteri sanggup mencuba cendol di sini. Terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri. Saya sangat gembira hari ini,” katanya yang berniaga di gerai berkenaan bersama suaminya Abdul Nasir Miras, sejak 30 tahun lalu.

Seorang pekerja kedai cat yang hanya mahu dikenali sebagai Bala, 56, berkata, kunjungan Perdana Menteri di kawasan pusat bandar diharap membawa kebaikan terutamanya bagi menyelesaikan isu perparitan.

“Ini pertama kali saya lihat Datuk Seri Najib dari dekat. Mengenai masalah longkang, memang ada bau busuk, kita harap ianya dapat diatasi,” katanya yang bekerja di kedai tersebut sejak lima tahun lalu.

Bagi seorang wanita, yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 36, kunjungan Perdana Menteri ke Muar adalah satu peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk melihat pemimpin nombor satu negara dengan lebih dekat.

Lim yang tinggal di Jalan Haji Jaib di sini berkata, beliau bersama suami yang mahu dikenali sebagai Soo, 40 dan dua anak perempuan mereka Soo Jia Ling, 8 dan Soo Jia Yi, 3, sanggup ke menunggu ketibaan Perdana Menteri sejak jam 8 pagi.

“Kita jarang dapat peluang macam ini. Anak-anak saya pun sangat gembira dapat bersalam dengan Perdana Menteri, isteri dan beberapa orang kenamaan lain,” katanya.

Sementara itu, ketika menghadiri Majlis Jamuan Rakyat di Bandar Kluang, Najib melahirkan rasa terharu dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat apabila seramai 10,000 orang menghadirinya, melebihi jangkaan awal seramai 6,000.

Beliau percaya jika pemimpin menghambakan diri kepada rakyat dan mempunyai sikap merendah diri, sokongan kepada Barisan Nasional akan bertambah mantap.

Dalam ucapannya juga beliau berkata walaupun jadual turun padang ke Muar dan Kluang adalah padat namun beliau mendapat tenaga setelah melihat sokongan rakyat yang diberikan pada setiap program yang dihadirinya.

Malah lebih membanggakan beliau sokongan itu datang dari rakyat pelbagai golongan lapisan masyarakat sehingga ada seorang wanita Cina yang berusia 75 tahun menghadiahkannya sehelai bendera Malaysia yang disimpan sejak 51 tahun lalu.

Turut hadir pada jamuan itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin serta exco kerajaan negeri.

Terap “Strategi Lautan Biru” Capai Objektif NKRA – Najib

KLUANG, 26 Mac – Perdana Menteri mahukan pemikiran “Strategi Lautan Biru” diterapkan dengan lebih meluas bagi mencapai objektif di dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerjasama di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan yang dilancarkan hari ini sebagai contoh pemikiran terbabit.

“Menerusi penerapan pemikiran ‘Strategi Lautan Biru’, agensi kerajaan dapat mencapai objektif-objektif di dalam NKRA dengan kos yang minimum,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota di sini, hari ini.

Menurut beliau, pemikiran “Strategi Lautan Biru” itu melibatkan pemikiran di luar kebiasaan dengan mengaplikasikan cara-cara yang kreatif dan inovatif, tetapi dalam masa yang sama dengan kos yang minimum.

Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota, di sini yang dilancarkan hari ini melibatkan sekumpulan penempatan banduan di dalam kawasan kem tentera dengan kawalan keselamatan yang minimum.

Jumaat, 25 Mac 2011

Perjuangan UMNO dalam memartabatkan agama

Posted by: Samuel San in Politics
Secara mudahnya, perjuangan UMNO disimpulkan sebagai perjuangan memartabat agama, bangsa dan negara. Dalam perjuangan UMNO, Islam tidak pernah sekali-kali dipinggirkan malah diletakkan sebagai perkara pertama. Cuma berbeza dengan tafsiran dan pendekatan ektremis, UMNO tidak obses untuk melaksanakan hudud dan mengkafirkan pemerintah yang tidak melaksanakannya, sebaliknya UMNO mengambil pendekatan yang lebih praktikal, sederhana dan pertengahan, iaitu dengan memberi keutamaan ke atas perkara-perkara yang lebih utama.

Disebabkan itu, dalam perjuangan memerdekakan negara, UMNO telah memastikan agar kedudukan dan keistimewaan Islam ditentukan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kemudiannya telah diperincikan lagi dalam bentuk dasar-dasar dan dilaksanakan dalam pelbagai bidang sesuai dengan pengertian Islam sebagai ad-din, iaitu suatu cara hidup yang lengkap.
Dari segi sejarah, UMNO mempunyai track record yang jauh lebih baik daripada sebuah parti pembangkang yang menggunakan label parti Islam di dalam menegakkan hukum-hukum Islam dalam pelbagai aspek. Ini sesuai dengan tuntutan tanggung jawab kekhalifahan yang diletakkan di atas bahu setiap umat Islam, iaitu untuk memakmurkan dunia dan memlihara agama. Hukum-hukum Allah swt ini telah ditegakkan dengan sebaik mungkin di dalam lima bidang utama, iaitu dlm bidang aqidah, ibadah, munakahat, muamalat dan jenayah.
Usaha memastikan hukum aqidah terlaksana, iaitu agar umat Islam di Malaysia mempunyai aqidah yang jelas dimulakan melalui pendidikan. Bezakan orang Melayu dahulu dgn orang Melayu sekarang. Sewaktu zaman P. Ramlee membuat filem, digambarkan terdapat orang Melayu yang memuja mambang untuk menuntut ilmu persilatan. Hari ini bab pendidikan Islam dimasukkan dalam pendidikan formal dan tidak formal, bermula di peringkat tadika, prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah - sekolah menengah biasa, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat, di kolej-kolej, Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) sehingga ke peringkat sarjana dan kedoktoran. Tidak cukup menghantar anak-anak Melayu di IPT dalam negara, mereka juga diajar untuk mendalami pelbagai aspek ilmu agama di luar negara.

Dengan kedudukan dan keistimewaan Islam yang ditentukan dengan jelas dalam perlembagaan, pemimpin UMNO yg terdahulu telah mengembangkannya dalam bidang-bidang hukum yang lain, misalnya ibadah. Melalui pendidikan kita belajar setiap syarat dan rukun agar ibadah kita dilakukan secara betul. Selain diajar untuk beribadah secara betul, kita juga diberikan infrastruktur dan keyakinan untuk beribadah dengan selesa melalui pembinaan begitu banyak masjid dan surau. Masjid ini dibantu pula dari aspek penyelenggaraan, utiliti dan elaun imam dan pentadbiran.
Di kawasan tertentu disyaratkan pula pembinaan surau dan masjid taman dan blok perumahan. Manakala majikan juga dikehendaki memberi ruang kepada umat islam untuk menunaikan solat Jumaat. Selain dari aspek peraturan dan pentadbiran, begitu banyak aktiviti dan program juga dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan syiar Islam ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Dalam bidang hukum munakahat pula, kita mempunyai Enakmen Keluarga Islam dan Institusi Mahkamah Syariah yang diiktiraf sebagai di antara yang terbaik di dunia. Biarpun ada kelemahan di sana sini termasuk dari aspek perbezaan pelaksanaan di negeri-negeri, namun ia adalah sangat tersusun dan jauh lebih sistematik berbanding negara-negara lain.

Dalam bidang hukum muamalat; melalui pendidikan, begitu ramai bijak pandai dalam pendidikan Islam dan pelbagai bidang ilmu lain yang telah kita lahirkan. Dalam kalangan mereka ini, bukan sahaja pakar ilmu Bahasa Arab, al-Quran dan Hadis, Feqah dan Usuluddin sahaja, tetapi juga mereka yg mampu menjadi pakar-pakar yg boleh menterjemahkan dasar hukum Islam ke dalam instrumen kewangan (bermula dgn perbankan, takaful, unit amanah, pajak gadai, sukuk dan sebagainya), yang telah dimulakan di zaman mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dan sekarang sudah menguasai nilai pasaran yang besar dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
Dalam bidang hukum jenayah pula yang terbahagi kpd tiga kategori, iaitu pertama, takzir, kedua - qisas dan ketiga hudud. Setidak-tidaknya kita telah melaksanakan dalam bentuk undang-undang takzir, yang dari secara asasnya melindungi hak-hak individu dan pada waktu yang sama turut memberi keutamaan kepada hak masyarakat terbanyak dan berusaha memelihara masalahat ummah dalam banyak keadaan.

Semuanya bermula dengan kedudukan Islam itu diperuntukkan dengan jelas di dalam perlembagaan; yang secara jelasnya menolak kesimpulan negara ini adalah sebuah negara sekular dan yang selebihnya berkembang dari situ berdasarkan kesungguhan dan kebijaksanaan politik semasa bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang agama dan bangsa tidak terjejas dan negara terjerumus ke dalam fitnah yang berterusan.
Sesungguhnya berdasarkan track record yang ada, UMNO adalah jauh lebih berjasa di dalam memenuhi tuntutan kekhalifahan, iaitu memakmurkan dunia dan memelihara agama, berbanding parti yang berjenama Islam; yang terlalu obses untuk melaksanakan hudud (yang menurut mereka sendiri hanya merupakan 0.0001 peratus sahaja daripada keluasan hukum Allah swt) tetapi gagal melaksanakan banyak perkara termasuklah membina sebuah masjid.

Pemuda BN sedia biasiswa RM16.5 juta

KUALA LUMPUR 25 Mac – Biasiswa Pendidikan Pemuda Barisan Nasional (BN) (YES) yang dilancarkan hari ini menerima sumbangan RM16.5 juta daripada 12 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, YES akan memberi peluang kepada lebih 200 pelajar cemerlang yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan kurang upaya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi pada tahun ini.

Katanya, Pemuda BN akan menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai ahli akademik untuk menilai dan mempertimbangkan permohonan yang dibuka kepada semua pelajar di seluruh negara.

“Mereka yang berminat boleh membuat permohonan itu secara dalam talian di laman web www.bnyes.com.my bermula minggu depan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Karnival Kerjaya BN (BNYJF) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy memberitahu, kira-kira 500,000 pencari kerja dijangka membanjiri Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sepanjang berlangsungnya BNYJF selama tiga hari bermula hari ini.

Ujarnya, BNYJF kali ini akan menawarkan 40,000 peluang pekerjaan daripada kira-kira 650 syarikat terdiri daripada syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat swasta dan agensi kerajaan.

UMNO Tak Terlibat Rakaman Video – Najib


KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak membidas mana-mana pihak yang membuat tuduhan terhadap UMNO berkaitan isu rakaman video yang dikatakan melibatkan pemimpin pakatan pembangkang.

Katanya, UMNO langsung tidak terlibat dalam hal terbabit malahan turut ingin tahu kebenaran dan kesahihan membabitkan perkara tersebut.

“Soalnya kenapa UMNO yang mahu dipersalahkan sedangkan perkara sebenarnya ialah adakah perkara tersebut (rakaman video) itu benar atau tidak dan jangan pula bangkitkan persoalan berkaitan konspirasi dan lain-lain?”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, PWTC, di sini.

Jelasnya lagi, sekiranya rakaman terbabit adalah sahih maka tentunya satu perbuatan kemungkaran telah berlaku, dan kerana itu pihak berkuasa perlu melaksanakan tugas dengan profesional dan telus bagi membuktikan kebenarannya.

“Soal keperluan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat hal tersebut adalah terpulang kepada keputusan kerajaan dan pihak polis perlu tunjukkan bukti yang sahih kalau ada perbuatan yang mengubah video tersebut secara teknikal kerana perkara seperti ini amat mudah dikesan,” katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri telah memaklumkan berkaitan perkembangan pengurusan dalam parti dengan keahlian terkini UMNO ialah 3,233,586 orang.

Dalam masa yang sama, beliau turut memberitahu bahawa anggota MT telah bersetuju untuk mengadakan majlis sambutan ulang tahun penubuhan UMNO pada tarikh penubuhannya iaitu 11 Mei depan.

“Majlis ini diadakan seperti biasa dengan dimulakan solat maghrib, bacaan surah yassin, tahlil dan solat isyak seterusnya diikuti oleh majlis makan malam dan upacara menaikkan bendera UMNO,” katanya.

Turut disebut, MT terima rayuan pelepasan hukuman bekas ketua Pemuda UMNO Sabah Datuk Japlin Akim dan memutuskan bahawa beliau dilepaskan daripada hukuman pergantungan serta kembali hak sepenuhnya sebagai ahli UMNO. – MediaUMNO