Ahad, 6 Mac 2011

TPM: Kemenangan BN Pengesahan Rakyat Terima Dasar Kerajaan

JASIN, 6 Mac – Kemenangan cemerlang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di sini dan DUN Kerdau membuktikan sebagai pengesahan kepada dasar-dasar kerajaan, ekonomi dan sosial di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada masa yang sama pengundi jelas menolak perjuangan PAS menerusi dasar buku jingga dan negara
Islam.

” Ini isyarat perjuangan PAS tidak diterima oleh masyarakat Melayu, bukan sekali tetapi beberapa kali mereka ditewaskan di Galas, Batu Sapi dan hari ini di Merlimau dan Kerdau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri kemenangan calon BN di pusat perjumlahan undi PRK Merlimau di Politeknik Merlimau di sini malam ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata beberapa isu yang diketengahkan dapat dijelaskan kepada pengundi antaranya isu ekonomi, kenaikan harga barang dan juga soal pendidikan diterima baik.

BN mengekalkan kerusi DUN Merlimau apabila calonnya Roslan Ahmad mengalahkan calon PAS Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi. Roslan memperoleh 5,962
undi manakala Yuhaizad mendapat 2,319 undi.

BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Kerdau apabila calonnya Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan undi majoriti 2,724.
Syed Ibrahim memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 2,336 undi.

Muhyiddin berkata kemenangan BN malam ini yang amat signifikan dan merangsangkan juga manifestasi kepada suasana puas hati yang mengulangi momentum kemenangan pilihan raya kecil BN sebelum ini.

“Ini momentum yang baik di mana dasar pembangunan dan ekonomi yang dibawa oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Melaka dan Menteri Besar
Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob,” katanya.

Ditanya kemenangan ini akan membawa kepada pilihan raya umum ke-13, Muhyiddin berkata walaupun kemenangan PRK ini menggalakkan tetapi ia boleh dikembangkan dan disebar-luaskan.

” Walaupun kemenangan PRK ini satu keputusan cemerlang tetapi tidak menggambarkan senario nasional secara keseluruhan,” katanya sambil manambah BN perlu mengukuhkan iniatif dan mesej yang difahami kepada pengundi di seluruh negara.

Beliau berkata “wallahhualam” ketika ditanya bila tarikh pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan