Jumaat, 11 Mac 2011

Pemuda Minta Kerajaan Kaji Pembinaan Kilang “Rare Earth” Di Kuantan

KUALALUMPUR 11 Mac – Pemuda UMNO hari ini meminta kerajaan mengkaji semula kelulusan yang diberikan oleh Atomic Energy Licensing Board (AELB) kepada sebuah syarikat Australia, Lynas Corp untuk membina kilang memproses memproses tanah jarang (rare earth) di Kuantan yang dikhuatiri memberi kesan kepada orang ramai dan alam sekitar.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu bimbang perkara yang sama berlaku pada 1980-an di Bukit Merah yang mana kilang seumpama itu telah mengeluarkan bahan-bahan radioaktif yang akhirnya terpaksa ditanam di tempat yang dirahsiakan.

“Perkara ini telah dibangkitkan oleh salah seorang Exco Pemuda, Mohd Suffian Awang yang merupakan Ketua Pemuda Kuantan pada mesyuarat Exco hari ini dan kita amat berharap ketelusan kerajaan untuk bentangkan laporan yang terperinci mengenai kesan daripada kilang tersebut.

“Kita amat berharap kerajaan mengkaji semula kelulusan berkenaan dan sekiranya ada kesan kepada alam sekitar dan kesan kepada orang ramai melalui sisa-sia radioaktif kami harap kelulusan ini dibatalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan agar kadar skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM300,00 terutama di kawasan bandar.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang telah melancarkan skim berkenaan yang merupakan hasil cadangan BN Youth lab sebelum ini. Dan hari ini kita amat berharap kerajaan boleh pertimbangkan perkara tersebut.

“Kalau kita lihat kawasan bandar terutama di sekitar Kuala Lumpur agak sukar untuk mendapatkan satu “property” dan rumah yang selesa dengan kos RM220,000,” katanya.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN seterusnya memberitahu pergerakan itu akan mengambil jejak langkah yang sama sepertimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan pertemuan dnegan Ketua-Ketua bahagian baru-baru ini.

“Saya dengan Datuk Razali Ibrahim (Naib ketua Pemuda) dan rakan exco yang lain akan rangka satu jadual kerja untuk berjumpa dengan setiap Ketua Pemuda bahagian untuk mantapkan lagi persiapan pilihan raya selain dapat mengenalpasti isu-isu orang muda yang kita boleh dapat daripada pimpinan pemuda bahagian sendiri.

“Sebelum ini kita dah kenalpasti isu-isu orang muda menerusi BN Youth Lab yang secara umum, tetapi kali ini menerusi pimpimpinan kita di peringkat bahagian akan dapat gambaran jelas mengenai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum selain dapat memaklumkan kepada pucuk pimpinan mengenai masalah serta isu-isu yang melibatkan orang muda di 191 bahagian seluruh negara,” ujarnya.

Khairy turut memaklumkan mesyuarat itu juga membincangkang gerak kerja Pemuda untuk menghadapi pilihan raya Sarawak dalam usaha membantu rakan-rakan Pemuda BN selain persediaan pergerakan itu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Ini tidak bermaksud bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat tetapi memandangkan kita dah sampai hampir 3 tahun dalam penggal Parlimen dan ini sudah menjadi kebiasaan kita untuk masuk dalam kaedah pilihan raya.

“Saya telah beri beberapa “tasking” kepada Pemuda untuk kita gerakkan gerak kerja Pemuda UMNO dan seterusnya pemuda BN ke arah persiapan untuk pilihan raya umum annti khususnya yang melibatkan pengundi muda, jentera serta bentuk kempen,” katanya. -MediaUMNO

1 ulasan:

  1. teruskan usaha pemuda ke arah kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang

    BalasPadam