Sabtu, 30 Mei 2009
Pinda perlembagaan
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, untuk perhimpunan tahun ini, ia akan dimulakan dengan Mesyuarat Agung Khas yang bertujuan untuk meminda perlembagaan parti.
Menurutnya, draf cadangan untuk pindaan berkenaan sudah hampir siap dan ia akan diedarkan kepada badan perhubungan negeri tidak lama lagi bagi mendapatkan maklum balas dan ulasan mereka.
‘‘Selepas itu, MT akan membuat ketetapan tentang peruntukan yang akan dipinda dan seterusnya membentangkannya dalam Mesyuarat Agung Khas. Selepas selesai, maka mesyuarat akan kembali kepada perhimpunan agung seperti biasa.
‘‘Diputuskan juga hanya satu usul sahaja akan dibincang iaitu usul penghargaan kepada ucapan Presiden dan di bawah usul ini semua orang boleh bawa apa juga perkara yang hendak dibawa nanti,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat MT di sini hari ini.
Hadir sama timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Najib berkata, MT juga bersetuju supaya jawatan seseorang pemimpin yang didakwa di mahkamah digantung sehingga proses perbicaraan selesai dan jika didapati tidak bersalah maka jawatannya akan dikembalikan.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat MT hari ini setelah menerima syor daripada Jawatankuasa Pengurusan.
‘‘Kita dari segi prinsipnya bersetuju atas syor itu bahawa seseorang yang dikenakan tuduhan di mahkamah, jawatan dia akan digantung.
‘‘Sekiranya dia berjaya dalam proses mahkamah maka dia akan dapat semula jawatannya, itu secara prinsipnya,’’ jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut mengumumkan yang MT bersetuju atas cadangan supaya ahli Lembaga Disiplin UMNO yang merangkumi panel penyiasatan, tribunal dan rayuan ditambah.
Sehubungan itu katanya, lima pelantikan baru dibuat yang terdiri daripada bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Ismail Saidin, peguam Datuk Zuraidah Atan; bekas Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wahab Wahid dan dua bekas pegawai polis iaitu Nordin Saidin dan Mohamad Zin Ismail.
Najib pada sidang akhbar berkenaan turut mengumumkan yang Mesyuarat MT hari ini turut mengesahkan dan menerima secara rasmi kemasukan semula Tun Dr. Mahathir Mohamad; isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan anaknya, Datuk Mokhzani ke dalam parti itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahukan ahli UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti tidak keluar mengundi, Najib berkata;‘‘Kita menjauhkan diri dengan pilihan raya kecil berkenaan. Keputusan UMNO, kita tidak terlibat dengannya. ‘‘Apa sahaja tindakan yang diambil ia adalah di peringkat individu. Parti tidak mengambil apa-apa pendirian. Kita tidak terlibat sama sekali,’’ .
Katanya, sebarang saranan ataupun gesaan yang dibuat oleh ahli-ahli UMNO mengenai Pilihan Raya DUN Penanti, ia adalah pandangan peribadi.
Selasa, 26 Mei 2009
SYABAS DAN TAHNIAH
Khamis, 21 Mei 2009
PERSIDANGAN CAWANGAN
Persidangan Tahunan Cawangan Dan Bahagian 2009
Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa Persidangan Tahunan bagi tahun 2009 adalah seperti berikut:
1. Persidangan Tahunan Cawangan 2009
1.1. Cawangan-cawangan bolehlah mengadakan Persidangan Tahunannya bila-bila masa mulai hari Jumaat, 15 Mei 2009 sehingga hari Selasa, 30 Jun 2009.
1.2. Cawangan-cawangan yang telah berdaftar pada atau sebelum 31 Disember 2008 serta telah memperolehi Sijil Pendaftaran Cawangannya sahaja yang layak mengadakan Persidangan Tahunannya untuk tahun 2009.
1.3. Tarikh bagi semua Persidangan Tahunan Cawangan hendaklah ditentukan oleh Bahagian setelah berunding dengan Cawangan berkenaan.
1.4. Merujuk kepada Peraturan Persidangan 5.3 “Persidangan Cawangan hendaklah diadakan pada satu tempat yang berkecuali dalam Cawangan berkenaan, melainkan jika tidak ada kemudahan di situ maka Persidangan bolehlah diadakan di mana-mana tempat yang munasabah termasuk di luar Cawangan setelah berunding dengan Bahagian”.
1.5. Setiausaha Cawangan hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan Persidangan Tahunan Cawangan.
1.6. Sebarang permohonan untuk menunda tarikh-tarikh persidangan Tahunan Cawangan di luar daripada tempoh yang telah ditetapkan tidak akan diluluskan.
1.7. Persidangan Cawangan hendaklah terdiri daripada :-
i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap
ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Cawangan
iii. Ahli-ahli Cawangan yang telah menjelaskan yuran tahunannya sebelum atau pada 31 Disember 2008.
1.8. Sesuai dengan Fasal 17.5 Perlembagaan UMNO, di antara tugas-tugas Persidangan Cawangan ialah:-
FASAL 17.5.6
Memilih Wakil-wakil ke Perwakilan Bahagian. Wakil-wakil yang tidak dipilih di dalam Persidangan Cawangan atau sebarang pertukaran selepas itu tidak sah.
FASAL 17.5.8
Tertakluk kepada Fasal 8.4.3, mencadangkan 7 nama untuk dipilih sebagai wakil UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO.
2. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda Dan Puteri Cawangan 2009
2.1.1. Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan bolehlah mengadakan Persidangan Tahunan masing-masing bila-bila masa mulai dari hari Jumaat, 15 Mei 2009 sehingga hari Selasa, 30 Jun 2009.
2.2.2. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan hendaklah diadakan terlebih dahulu sebelum Persidangan Tahunan Cawangan masing-masing.
2.2.3. Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan hendaklah memberitahu ahli-ahli secara bertulis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari terlebih dahulu daripada hari diadakan persidangan masing-masing.
2.2.4. Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan hendaklah terdiri daripada :-
i. Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan
ii. Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan UMNO Cawangan
iii. Ahli-ahli Pergerakan UMNO Cawangan yang telah menjelaskan yuran tahunannya sebelum atau pada 31 Disember 2008.
iv. Tidak lebih dari dua orang wakil daripada Jawatankuasa UMNO Cawangan.
2.2.5. Sesuai dengan Fasal 19.4, Peraturan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, tugas-tugas Persidangan Tahunan Cawangan masing-masing adalah :-
FASAL 19.4.3
Memilih dua (2) orang wakil ke Mesyuarat Perwakilan Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian sebagaimana Fasal 14.2.4 Peraturan ini.
FASAL 19.4.5
Tertakluk kepada Fasal 9.2.4 Peraturan ini, mencadangkan dua (2) orang wakil Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Bahagian ke Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO Malaysia.