Isnin, 7 Disember 2009

SUA Gesa Ahli Sentiasa Bersedia

KUALA LUMPUR, 7 Dis. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa ahli-ahli UMNO di seluruh negara sentiasa bersikap peka dan bersedia terhadap perkembangan semasa dan juga saranan Presiden parti terhadap masa hadapan UMNO.
Dalam hal ini katanya, semua ahli-ahli UMNO khususnya para pemimpin termasuklah di peringkat akar umbi perlu memahami hasrat yang telah dizahirkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak terutamanya untuk melihat parti ini lebih berjiwa rakyat dan terus berada di landasan perjuangannya.
“Kita telah pun menggariskan tumpuan yang bakal dilalui oleh ahli-ahli parti dalam memastikan kesinambungan perjuangan terus relevan dengan mengaktifkan parti melalui progam dan aktiviti yang bertemakan UMNO Juara Rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Presiden parti yang juga Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa ahli-ahli Majlis Tertinggi yang bermesyuarat Jumaat lalu telah meluluskan program UMNO bagi tahun depan dan mulai Januari 2010, iaitu melaksanakan program yang bertemakan ‘UMNO Juara Rakyat’.
“Sebenarnya program yang dirancang tersebut bukanlah sesuatu yang asing tetapi ia diperincikan dengan lebih teratur dan mantap melalui pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, sosial dan NGO serta pelbagai lagi jenis program yang telah ditentukan.”
Jelas beliau lagi, walaupun program tersebut mengkhusus kepada UMNO tetapi ia bukan terhad kepada ahli-ahli parti sahaja sebaliknya rakan-rakan kompenan dalam Barisan Nasional (BN) juga turut dipelawa dan bersama-sama menggembling tenaga memastikan kerukunan dan keharmonian terus terpelihara.
“Melalui program-program tersebut, kita akan memastikan bahawa tidak akan ada ahli yang terpinggir atau merasa tersisih kerana mereka akan terlibat secara langsung dalam menjayakan setiap perancangan sama ada di peringkat bahagian atau cawangan sekalipun,” jelas beliau lagi.
Dalam memastikan kesinambungan parti, beliau yang juga Setiausaha Agung BN turut memaklumkan bahawa program pemutihan keahlian akan digerakkan sebagai alternatif menentukan kesahihan ahlinya dalam UMNO.
“Tindakan tersebut dibuat bagi menentukan kaedah pemutihan ahli-ahli supaya senarai yang ada merupakan senarai sahih terkini khususnya selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan parti.”
ROS meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO pada 10 November 2009 yang lalu dan dengan itu UMNO memansuhkan yuran tahunan dan ahli hanya perlu membayar yuran keahlian sekali seumur hidup semasa membuat permohonan menjadi ahli parti iaitu berbeza dengan sebelum ini, bayaran yuran daripada ahlinya dikenakan setiap tahun.
Bagi melaksanakan pemutihan tersebut, beliau memaklumkan bahawa ibu pejabat UMNO akan berhubung secara terus dengan semua UMNO Bahagian untuk keberkekasan proses berkenaan.
Selaras dengan kelulusan pindaan Perlembagaan UMNO tersebut juga, Tengku Adnan turut menggesa ahli-ahli parti agar tidak leka dengan matlamat perjuangan untuk terus memperkasa parti dan memastikan kekukuhan di kalangan ahli terpelihara.
“Kita jangan terlalu asyik menyaksikan pergolakan yang berlaku dalam parti lawan hinggakan kita lalai untuk melaksanakan tanggungjawab kita seperti mana yang telah digariskan oleh Presiden,” katanya.
Menurut beliau, pergeseran pendapat dan pertentangan idea yang melanda pakatan pembangkang perlu diambil sebagai satu tauladan dan lonjakan bagi UMNO dan BN sendiri untuk terus memantapkan matlamat perjuangan.
“Sesungguhnya apa yang berlaku kepada PAS, PKR dan DAP adalah bukti bahawa idealogi mereka yang tidak selari jauh menyimpang daripada apa yang dihajatkan oleh masyarakat, dan perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam BN kerana kerajaan tahu kehendak rakyat,” tegasnya.